Jumlah kenderaan lalui Kuala Pilah meningkat tiga kali ganda – Utusan Digital

Jumlah kenderaan lalui Kuala Pilah meningkat tiga kali ganda – Utusan Digital

KUALA PILAH: Aliran trafik di daerah ini meningkat sebanyak tiga kali ganda selepas laluannya menjadi tumpuan pengguna jalan raya dari Pantai Timur dan Lembah Klang susulan banyak jalan ditutup akibat bencana alam.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani berkata, aliran trafik berkenaan didapati meningkat semenjak laluan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ditutup tiga hari lalu.

Menurutnya, kebiasaannya dari Jumaat hingga Ahad, aliran trafik adalah sebanyak 5,000 buah kenderaan dalam masa sejam.

“Kini aliran berkenaan sejak dari Sabtu lalu boleh mencapai sehingga 12,000 kenderaan dalam masa sejam.

“Antara lokasi yang dikesan aliran trafik banyak dan perlahan adalah dari arah Jempol, Jelebu menghala ke Kuala Pilah,” katanya hari ini.

Sehubungan itu, Amran menasihatkan kepada kesemua pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati-hati, bersabar serta merancang perjalanan masing-masing bagi mengelak sebarang masalah tidak diingini.

“Sekiranya penat atau mengantuk, dinasihatkan pengguna jalan raya untuk berehat terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan,” katanya.