hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menahan dua lelaki termasuk penjawat awam yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dipercayai terbabit penjualan kotak kertas milik kerajaan secara tidak sah membabitkan kerugian kira-kira RM61,450.
Mereka yang berusia 39 tahun dan 46 tahun ditahan semalam dan hari ini.
Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, penahanan itu susulan penemuan 1,845 kotak kertas A4 tertera perkataan ‘Hak Milik Kerajaan Malaysia (tidak boleh dijual beli) pada pemeriksaan Ops Lusuh Bersepadu di syarikat kitar semula kertas di Taman Teknologi Cheng, Melaka, semalam.
Menurutnya, kotak kertas berkenaan disyaki dijual secara tidak sah kepada syarikat terbabit.
“Susulan itu, seorang pekerja syarikat ditahan dan siasatan awal mendapati semua kotak kertas A4 itu dipercayai dijual oleh kakitangan awam yang berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka sejak November 2024 sehingga pertengahan Januari lalu.
“Polis kemudian menahan kakitangan awam terbabit di rumahnya di Bukit Baru, Melaka pada 3 petang tadi untuk membantu siasatan. Lelaki itu sudah berkhidmat dengan PDRM selama 24 tahun,” katanya kepada Harian Metro, di sini, hari ini.
Beliau berkata, semakan juga dapati pekerja syarikat kitar semula itu tiada rekod kesalahan lampau dan dia direman empat hari hingga Sabtu, manakala permohonan reman penjawat awam dibuat esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Bahan Lusuh 1946,” katanya yang memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan dan beberapa tangkapan akan dibuat untuk membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd