zatuliffah@hmetro.com.my
Marang: Di sebalik pelbagai menu menarik di Bazar Ramadan Marang di sini, terselit sebuah gerai yang menjual batu nisan dan kepuk kubur.
Itu kelainan dilakukan Che Mohamad Ibrahim Che Ghani, 45, yang menjual dua barangan itu sejak 1 Ramadan lalu.
Ternyata cubaan pertama kali Che Mohamad Ibrahim itu membuahkan hasil apabila 28 set kepuk sudah dijual setakat ini.
Che Mohamad Ibrahim berkata, bazar Ramadan yang menjadi tumpuan ramai menyebabkan timbul idea untuk menjual batu nisan dan kepuk kubur di sini.
“Kita tahu bazar Ramadan ini menjadi tumpuan ramai pengunjung yang mencari juadah untuk berbuka dan saya rasa ini peluang untuk saya cuba nasib mempromosi perniagaan yang ada.
“Biasanya apabila tiba Aidilfitri, mesti ada waris yang mahu memasang atau menukar batu nisan dan kepuk kubur untuk ahli keluarga mereka yang sudah tiada, jadi kehadiran saya di sini beri peluang kepada mereka untuk buat pilihan.
“Saya bawa sampel batu nisan dan kepuk pusara di gerai untuk tarik perhatian pengunjung dan Alhamdulillah, ia dapat sambutan walaupun pada awalnya ia agak pelik,” katanya yang sudah lima tahun menjual batu nisan dan kepuk kubur di Pantai Rhu Muda, di sini.
Katanya, kebiasaannya pengunjung akan mengambil nombor telefon disediakan terlebih dahulu dan menghubunginya selepas itu untuk melihat rekaan yang ada.
“Harga kepuk dijual dengan harga antara RM330 hingga RM1,700 bergantung kepada jenis yang dipilih pelanggan.
“Alhamdulillah, saya tak sangka dapat sambutan walaupun ia agak pelik dan berbeza daripada orang lain namun tidak salah saya mencuba apa sahaja cara untuk mempromosikan perniagaan yang ada.
“Melihat kepada sambutan yang diberikan, saya berhasrat untuk turut serta menjual di bazar Ramadan tahun depan,” katanya.
Katanya, dia akan menjual di Bazar Ramadan sehingga 23 Mac ini sahaja bagi membolehkan batu nisan dan kepuk kubur yang ditempah dapat disiapkan sebelum Aidilfitri.
© New Straits Times Press (M) Bhd