JSJK perlu adaptasi lebih pantas hadapi jenayah guna AI

JSJK perlu adaptasi lebih pantas hadapi jenayah guna AI

mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Cabaran yang ditimbulkan oleh perkembangan kecerdasan buatan (AI) memerlukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) untuk beradaptasi dengan lebih pantas dalam menggunakan teknologi moden.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dengan kerjasama antara pihak penguat kuasa, sektor teknologi, dan masyarakat, JSJK dapat memastikan mereka terus berkesan dalam menangani jenayah komersil di dunia yang semakin digital ini.

Menurutnya, tidak dinafikan sudah berlaku beberapa kes jenayah penipuan yang menggunakan teknologi AI, bagaimanapun jumlahnya masih kecil.

“Setakat ini, tiada laporan diterima berkenaan kes-kes penyamaran selaku kenalan atau ahli keluarga bagi meminta bantuan menggunakan teknologi deepfake.

“Penggunaan teknologi deepfake dilihat lebih tertumpu kepada iklan pelaburan yang disasarkan secara rambang kepada orang awam bagaimanapun, penggunaannya masih belum meluas,” katanya kepada Harian Metro.

Ramli berkata, bagi menangani cabaran itu, JSJK perlu mengambil beberapa langkah proaktif dan adaptif.

“JSJK boleh memanfaatkan AI dan pembelajaran mesin (machine learning) untuk mengenal pasti corak dan trend dalam data yang besar, seperti transaksi kewangan yang mencurigakan, yang mungkin tidak mudah dikesan oleh kaedah tradisional.

“Selain itu, menggunakan teknologi forensik digital untuk menjejaki aktiviti siber seperti penipuan dalam talian, pengubahan wang haram melalui mata wang kripto, dan serangan siber membabitkan data sensitif,” katanya.

Beliau berkata, pegawai JSJK perlu diberikan latihan berterusan mengenai teknologi terkini termasuk kriptografi, blockchain dan keselamatan siber.

“Ini akan membantu mereka mengenal pasti dan mengesan jenayah yang mungkin berlaku di dalam ruang maya.

“JSJK juga menjalin kerjasama dengan syarikat teknologi dan pakar dalam bidang siber bagi memberi latihan dan pemahaman yang lebih mendalam mengenai teknologi yang digunakan dalam jenayah komersil,” katanya.

Ramli berkata, jenayah komersil sering membabitkan pelaku di pelbagai negara di mana JSJK perlu meningkatkan kerjasama dengan badan penguat kuasa undang-undang antarabangsa seperti Organisasi Polis Antarabangsa (Interpol) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) untuk bertukar maklumat dan strategi.

“Pihak berkuasa perlu menyemak dan mengemas kini undang-undang sedia ada untuk memastikan ia relevan dengan cabaran baru dalam dunia digital, seperti penggunaan mata wang kripto dalam pengubahan wang haram atau peraturan terhadap transaksi dalam talian yang mencurigakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top