PETALING JAYA: Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dijangka menjadi satu mercu tanda yang mengubah pasaran hartanah di Malaysia dan Singapura, namun bergantung kepada komitmen diberikan kedua negara, menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Juwai IQI.
Kashif Ansari berkata, pihaknya menjangkakan ia akan memacu pelaburan langsung asing baharu, aktiviti pembuatan, pelancongan dan aktiviti hartanah di Johor.
“Pertumbuhan ini akan memberi kesan limpahan kepada seluruh Malaysia, menyebarkan manfaatnya dengan lebih meluas.
“Dalam senario positif, Johor akan mengalami pertumbuhan ekonomi yang lebih pantas, yang dijangka menyumbang sebanyak 0.5 hingga 0.9 peratus kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ini boleh menyumbang RM20 bilion dalam jangka pendek dan boleh melebihi RM30 hingga 50 bilion dengan magnitud, skala dan saiz projek di peringkat makro.
“Ini selaras dengan ramalan kami yang dinyatakan dalam laporan terkini IMF yang meramalkan KDNK Malaysia 2025 akan mencapai RM2.245 trilion (AS$488.25 bilion) berdasarkan premis bahawa pelaburan langsung asing (FDI) yang besar akan datang terutamanya dari China dan Amerika Syarikat,” katanya.
Selain itu, Kashif juga optimis dengan prospek ekonomi bagi kawasan SEZ yang akan menarik lebih banyak perniagaan dan individu ke Johor.
“Aktiviti yang lebih besar akan meningkatkan permintaan di pasaran hartanah kediaman, pejabat, industri dan logistik serta meningkatkan harga tanah yang boleh dibangunkan.
“Kami dapat melihat impak terhadap jumlah dan nilai transaksi hartanah yang meningkat namun, anda boleh menjangkakan pengurangan lebih lanjut dalam lebihan hartanah kediaman di Johor. Pemilik rumah boleh mendapat manfaat daripada pertumbuhan nilai. Pasaran hartanah komersial dan industri boleh mendapat manfaat daripada permintaan yang meningkat.
“Kami melihat impak besar dan peningkatan pada jumlah dan nilai transaksi hartanah. Peluang baharu yang lebih besar akan muncul dengan pelancaran projek-projek menarik yang mendapat sambutan yang sangat baik. Projek-projek ini memenuhi kriteria harga dan lokasi serta keutamaan pasaran, menjadikannya sangat diingini,” katanya.
Jelas beliau, apabila terdapat aliran barang, orang dan perniagaan yang hampir lancar antara Johor dan Singapura, kedua-dua ekonomi akan berkembang dengan pesat.
“Syarikat-syarikat tidak perlu memilih untuk beroperasi di Malaysia atau Singapura kerana JS-SEZ akan memberikan mereka kelebihan kedua-dua negara ditambah dengan insentif tambahan.
“Singapura akan menyediakan modal, teknologi, dan kepakaran, sementara Malaysia akan menyumbang tenaga kerja yang sangat mahir, tenaga boleh diperbaharui, tanah dan sumber-sumber lain.
“Dengan mengurangkan kos pengangkutan dan cukai, SEZ akan membolehkan firma berkembang dengan lebih cepat, menggaji lebih ramai pekerja, dan mengambil risiko yang sebelum ini mereka tidak dapat lakukan,” katanya.
Jelas Kashif, satu item infrastruktur besar bergantung kepada kejayaan Zon Ekonomi Khas yang baharu.
“Jika SEZ ini berjaya, ia akan memberi momentum kepada mereka yang mahu melancarkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Singapura dan Malaysia,” katanya. – UTUSAN