Amman: Rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk menempatkan semula rakyat Palestin dari Gaza ke Jordan adalah satu ‘resipi radikalisme’ yang boleh mencetuskan kekacauan di Timur Tengah, menggugat perjanjian damai Jordan dengan Israel, bahkan mengancam kelangsungan negara itu sendiri.
Amaran keras ini akan disampaikan oleh Raja Jordan, Raja Abdullah II kepada Trump dalam pertemuan mereka di Washington pada 11 Februari, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik menentang sebarang rancangan pemindahan, menurut tiga pegawai kanan Jordan yang enggan dikenali.
“Ini adalah isu kewujudan. Penolakan rakyat sangat kuat, dan ini bukan sesuatu yang boleh dipertimbangkan oleh Jordan. Ini bukan soal ekonomi atau keselamatan bagi Jordan, tetapi soal identiti,” kata Marwan Muasher, bekas Menteri Luar Jordan yang membantu merundingkan perjanjian damai Jordan-Israel pada 1994.
Seorang pegawai kanan Jordan berkata Raja Abdullah menghubungi pemimpin serantau seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Qatar untuk mendapatkan sokongan.
“Ini adalah ujian terbesar dalam hubungan dengan sekutu strategik kami,” kata pegawai itu.
Seorang pegawai kerajaan Jordan menegaskan bahawa pendirian negara itu dinyatakan secara jelas dalam kenyataan Raja yang menolak pemindahan secara besar-besaran.
Rumah Putih belum memberi sebarang komen berhubung perkara ini.
Jordan bimbang senario buruk
Bagi Jordan, idea Trump untuk menempatkan sekitar dua juta penduduk Gaza di negaranya amat berbahaya kerana ia mengingatkan kepada mimpi ngeri yang lama ditakuti – pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari Gaza dan Tebing Barat, seiring dengan visi sesetengah pelampau Israel yang mahu menjadikan Jordan sebagai tanah air alternatif bagi Palestin.
Jordan juga bimbang pemindahan rakyat Palestin dari Gaza akan menjadi langkah awal ke arah pengusiran tiga juta lagi rakyat Palestin dari Tebing Barat.
Walaupun Mesir turut bimbang dengan rancangan Trump, ancaman itu lebih besar bagi Jordan, yang menerima lebih ramai pelarian Palestin berbanding negara lain sejak penubuhan Israel pada 1948.
Dianggarkan lebih separuh daripada 11 juta penduduk Jordan berketurunan Palestin.
Muasher, yang pernah menjadi duta pertama Jordan ke Israel selepas perjanjian damai 1994 berkata, alasan utama Jordan berdamai dengan Israel adalah untuk mengelakkan pembentukan negara Palestin di tanah Jordan.
Namun, katanya, “Hari ini, hujah rasmi itu semakin dipersoalkan, bukan sahaja oleh rakyat biasa, tetapi oleh pihak berkuasa sendiri.”
Jordan menjadi sekutu rapat Barat sejak merdeka dari Britain pada 1946 dan menjadi tuan rumah kepada pasukan tentera AS berdasarkan perjanjian yang membenarkan mereka ditempatkan di pangkalan Jordan.
Bersempadan dengan Israel, Jordan berjaya mengelakkan konflik yang berlaku di Iraq dan Syria sepanjang dua dekad lalu.
‘Kami bersedia’
Jordan kini sedang bersiap sedia menghadapi kemungkinan terburuk.
Pelan darurat yang dirangka oleh pihak tentera dan keselamatan termasuk mengisytiharkan perang terhadap Israel, membatalkan perjanjian damai, dan mengisytiharkan darurat, menurut pegawai yang bercakap dengan Reuters.
“Kami berharap tidak akan melihat ribuan rakyat Palestin membanjiri sempadan untuk memasuki negara ini, tetapi kami sudah bersedia,” kata seorang pegawai Jordan.
Seorang pegawai kerajaan mengulas Jordan “sentiasa bersedia melakukan apa sahaja untuk melindungi keselamatan negara.”
Pada Rabu, Raja Abdullah menegaskan beliau menolak sebarang cubaan untuk menguasai tanah dan memindahkan rakyat Palestin.
Sepanjang penggal pertamanya, pendekatan Trump yang pro-Israel menyebabkan Jordan bimbang, tetapi kenyataan terbarunya yang mencadangkan pemindahan besar-besaran rakyat Gaza ke Jordan benar-benar mengejutkan pihak berkuasa negara itu.
Trump mengembangkan ideanya lagi pada Isnin dengan mengumumkan rancangan untuk AS mengambil alih Gaza selepas rakyat Palestin ditempatkan semula di negara lain, dan menjadikannya ‘Riviera Timur Tengah’.
Pada taklimat di Rumah Putih pada Rabu, Setiausaha Akhbar Karoline Leavitt berkata, Trump tidak bermaksud rakyat Gaza perlu dipindahkan secara kekal, tetapi hanya ‘ditempatkan sementara’ untuk proses pembinaan semula.
Visi Trump ini menjejaskan dasar AS yang selama ini menyokong penyelesaian dua negara, iaitu penubuhan negara Palestin di Gaza dan Tebing Barat, yang turut mendapat sokongan antarabangsa.
Bercakap di samping Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Trump berkata, pada Selasa Raja Abdullah dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi akhirnya akan menerima rancangannya.
“Saya rasa mereka akan terbuka hati dan memberikan tanah yang diperlukan supaya rakyat dapat hidup dalam harmoni dan damai,” kata Trump.
Raja Abdullah berharap dapat meyakinkan Trump bahawa rancangannya tidak boleh dilaksanakan dan akan melobi ahli politik di Capitol Hill yang mempunyai hubungan rapat dengan Jordan.
“Beliau perlu sangat berhati-hati supaya tidak menimbulkan kemarahan Trump,” kata Joost Hiltermann dari Crisis Group.
“Saya tidak fikir mereka boleh banyak mengubah fikiran Trump, tetapi secara jujurnya, keseluruhan idea ini tidak dapat dilaksanakan.”
Slogan pro-Hamas
Trump juga menyinggung sokongan besar yang diterima Jordan dan Mesir dari AS, dengan berkata minggu lalu: “Kami banyak membantu mereka, dan mereka akan melakukannya.”
Jordan menerima kira-kira US$1.45 bilion (RM6.42 bilion) bantuan ketenteraan dan ekonomi AS setiap tahun, menjadikannya antara penerima bantuan terbesar dari Washington.
Namun, kerajaan Jordan bersiap sedia untuk kemungkinan pengurangan bantuan ekonomi dari AS, sesuatu yang sukar ditanggung ketika negara itu masih menyesuaikan diri dengan kemerosotan bantuan kewangan dari negara-negara Teluk dalam dekad lalu.
Walaupun tekanan ekonomi meningkat, pegawai Jordan menegaskan bantuan kewangan tidak akan mengubah pendirian mereka kerana menerima jutaan rakyat Palestin berpotensi membawa ancaman besar kepada kestabilan negara. Antara langkah persiapan Jordan ialah mengukuhkan hubungan dengan Kesatuan Eropah, termasuk perjanjian bernilai 3 bilion euro (RM13.78 bilion) yang ditandatangani pada 29 Januari lalu.
Sebagai isyarat politik kepada AS, kerajaan Jordan juga melonggarkan sekatan terhadap protes parti pembangkang Islam anti-Amerika, Barisan Tindakan Islam, yang bersekutu dengan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai hubungan ideologi dengan Hamas
Dalam satu protes baru-baru ini, penunjuk perasaan melaungkan slogan pro-Hamas dan mengangkat gambar pemimpin Hamas yang terbunuh.
“Encik Trump: Jordan mempunyai kedaulatan dan bukan barang dagangan,” kata Murad Adailah, pemimpin Ikhwanul Muslimin di Jordan, kepada penunjuk perasaan.
Lamis Andoni, pakar dalam hal ehwal Jordan-Palestin berkata, Raja Abdullah tidak mempunyai pilihan selain menolak rancangan Trump.
“Tiada jalan lain untuk Raja Abdullah kecuali menolak rancangan Trump,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd