Jonathan rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Oscar

Jonathan rangkul Anugerah Pelakon Pembantu Terbaik Oscar

Los Angeles: Pelakon Hollywood kelahiran Vietnam, Ke Huy Quan meraih anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Academy 2023 yang kini berlangsung di Dolby Theatre, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Huy Quan atau dikenali Jonathan Ke Quan 51, yang melakonkan watak Waymond Wang, dicalon menerusi filem Everything Everywhere All at Once arahan Daniel Kwan dan Daniel Scheinert.

Jonathan berkata, dia tidak pernah menyangka akan berpeluang memenangi anugerah hebat, Oscar itu berikutan sejarah silam lalunya yang berhijrah dari Asia ke Amerika Syarikat kira-kira 30 tahun lalu.

“Perjalanan saya bermula dengan menaiki bot. Saya menghabiskan masa setahun di kem pelarian dan entah bagaimana saya berakhir di sini di pentas terbesar Hollywood ini.

“Mereka kata cerita seperti ini hanya berlaku dalam filem. Saya tidak percaya ini berlaku kepada saya. Ini adalah impian Amerika,” katanya dalam ucapan disampaikan dengan titisan air mata.

Beliau juga memberikan penghargaan terima kasih tidak terhingganya kepada pengarah filem terkenal, Steven Spielberg kerana pernah memberi peluang besar kepadanya membintangi filem pertama, Indiana Jones Temple of the Doom.

“Saya dibesarkan untuk tidak lupa dari mana asal saya, untuk sentiasa mengingati siapa yang memberi saya peluang pertama. Saya sangat gembira melihat Steven Spielberg di sini. Terima kasih,” katanya.

Oscar adalah anugerah ketiga dimenangi Jonathan untuk kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik

tahun ini selepas membawa pulang Anugerah Golden Globe dan Anugerah Screen Actors Guild 2023.

 

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top