Jonatan lawan 'sebenar' Justin

Jonatan lawan 'sebenar' Justin

mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara Justin Hoh sudah pastinya akan bermandi peluh pada pusingan kedua Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 apabila bertemu lawan di ranking keempat dunia dari Indonesia Jonatan Christie.

Sebelum itu, pemain berusia 21 tahun itu mempamerkan aksi cemerlang apabila melangkah ke pusingan kedua selepas menumpaskan wakil Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin, dalam satu pertarungan sengit selama 79 minit di Pusat Sukan Olimpik Ningbo di China, hari ini.

Meskipun tewas set pertama, pemain muda negara itu bangkit dengan semangat juang tinggi untuk menang 14-21, 22-20, 21-16.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Kenneth Jonassen, berpuas hati dengan karakter dan ketahanan mental yang ditunjukkan Justin dalam perlawanan itu.

“Justin menunjukkan semangat juang yang tinggi hari ini dan berjaya menyesuaikan permainannya sepanjang set kedua, yang memberinya peluang untuk memberi tentangan kepada Jeon.

“Dia juga menunjukkan karakter yang kuat apabila berada dalam situasi sukar, tetap percaya dan kekal positif. Set ketiga pula benar-benar menjadi pertarungan dari segi fizikal dan mental, seperti kebanyakan perlawanan sukar,” katanya.

Lawan Justin di pusingan kedua bukanlah ‘biasa-biasa’ kerana memegang reputasi sebagai juara bertahan selain berpengalaman luas di pentas antarabangsa.

Menurut Jonassen, pertemuan ini bakal menjadi medan pembelajaran penting buat anak buahnya dalam usaha menyesuaikan diri dengan tekanan di peringkat tertinggi.

“Menentang Jonatan esok akan menjadi ujian sebenar menentang pemain bertaraf dunia yang mana Justin perlu beraksi pada tahap tertinggi. Ia satu lagi peluang terbaik untuk belajar dan berkembang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top