Jokowi pesan ‘ojo kemajon’

Jokowi pesan ‘ojo kemajon’
Jokowi pesan ‘ojo kemajon’

Gibran (kanan) pernah digelar sebagai ‘baby nepotisme’ kerana menggunakan pengaruh bapanya untuk bertanding jawatan Cawapres. Foto Agensi

JAKARTA – Bekas Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memberi peringatan kepada anaknya, Wakil Presiden (Wapres), Gibran Rakabuming Raka supaya tidak melangkaui Presiden Prabowo Subianto di tengah-tengah khabar angin mengenai keretakan hubungan antara mereka.

Prabowo baharu sahaja melepasi tempoh 100 hari pentadbirannya dengan dengan keputusan ‘kad laporan’ yang cemerlang.

Ketika wawancara bersama Narasi TV, Jokowi turut memuji kepimpinan penggantinya.

Beliau berpendapat Prabowo telah menggalas tanggungjawab dengan baik dalam tempoh 100 hari dengan program populis beliau seperti makanan percuma dan pelepasan hutang untuk perusahaan kecil dan sederhana.

Jokowi juga menafikan bahawa dia ada campur tangan dalam pentadbiran Prabowo atau mempengaruhi anaknya, tetapi beliau mengingatkan Gibran supaya tidak melewati Prabowo.

“Orang Jawa akan berkata, ‘ojo kemajon’ (jangan melampaui batas). Seperti ditetapkan Perlembagaan, seorang Wapres harus berjalan di sisi atau membantu Presiden apabila diminta,” katanya.

Bagaimanapun, Jokowi tidak menjelaskan secara terperinci apa yang mungkin dilakukan Gibran yang boleh ditakrifkan sebagai melampaui batas.

Terdapat laporan yang mendakwa Gibran ada menerima panggilan daripada Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya apabila beliau dilihat tidak bertindak mengikut kehendak Prabowo.

Prabowo turut mengambil risiko dengan menubuhkan ‘Kabinet gemuk’ dan tidak meneruskan sebahagian program di bawah pentadbiran Jokowi.

Bagaimanapun, dasar beliau menerima kritikan terutamanya program makanan bergizi percuma yang memberi manfaat kepada lebih 60,000 murid dan telah menjadi keutamaan bajet hingga memberi kesan kepada program di kementerian lain.

Ketika tempoh dua tahun terakhir penggal pentadbirannya, Jokowi memilih Prabowo yang ketika itu memegang jawatan Menteri Pertahanan sebagai pengganti beliau dan membina gabungan parti politik bagi menyokong pemimpin Parti Gerindra tersebut.

Bekas Gabenor Jakarta itu juga memberi restu apabila parti politik yang menyokongnya termasuk Golkar mencalonkan Gibran yang pada mulanya tidak layak bertanding atas faktor umur pada Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Keputusan kontroversi dibuat Mahkamah Konstitusi kemudiannya membenarkan Gibran menjadi calon Wapres, sekali gus memeterai kerjasama politik antara Prabowo dan Jokowi hingga menyebabkannya disingkirkan daripada Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P). – Agensi

Scroll to Top