Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP

Jokowi, anak dan menantu dipecat PDIP
Surat pemecatan Jokowi (kanan), bersama anak dan menantunya itu ditandatangani oleh Ketua Umum PDIP, Megawati Soekarnoputri. - Foto: Bernama

Surat pemecatan Jokowi (kanan), bersama anak dan menantunya itu ditandatangani oleh Ketua Umum PDIP, Megawati Soekarnoputri. – Foto: Bernama

SOLO – Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) hari ini secara umum dan rasmi memecat Joko Widodo (Jokowi), anaknya, Gibran Rakabuming Raka dan menantunya, Bobby Nasution serta 27 pengikut lainnya daripada parti berkenaan.

Media tempatan melaporkan, surat keputusan berhubung pemecatan itu dibacakan oleh Ketua Bidang Kehormatan Dewan Pimpinan Pusat PDIP, Komarudin Watubun. Dikeluarkan di Jakarta, surat itu bertarikh 14 Disember 2024, dan ditandatangani oleh Ketua Umum Megawati Soekarnoputri dan Setiausaha Agung Hasto Kristiyanto.

Memetik portal berita Detik.com, Komarudin memberitahu, beliau telah menerima arahan langsung daripada Ketua Umum PDIP untuk mengumumkan hal tersebut.

“DPP Parti akan mengumumkan surat keputusan pemecatan terhadap Joko Widodo, Gibran Rakabuming Raka, dan Bobby Nasution serta 27 anggota lain.

“Keputusan itu melarang mereka itu untuk tidak melakukan kegiatan dan menduduki sebarang jawatan atas nama PDIP,” ujarnya dipetik sebagai berkata.

Terdahulu, Jokowi yang ditemui media memberi respons berkaitan kemungkinan pemecatan dirinya dan keluarganya oleh PDIP.

Apabila dilontarkan tentang dirinya yang bakal tidak berada dalam sebarang parti politik, Jokowi secara ringkas menyebut soal ‘parti perorangan’.

CNN Indonesia antara lain menafsirkan bahawa hal yang dimaksudkan Jokowi itu adalah tentang hasrat peribadinya untuk terus berkecimpung dalam politik meskipun nanti tidak mewakili mana-mana parti.

Pada Rabu (4 Disember lalu) Hasto Kristiyanto yang ditemui pemberita di Jakarta Selatan pernah memberi kenyataan mengejutkan mengenai soal status keanggotaan Jokowi. Hasto menegaskan Jokowi sudah bukan lagi bahagian dari PDIP.

“Saya tegaskan kembali bahawa Pak Jokowi dan keluarga sudah tidak lagi menjadi bahagian dari PDI Perjuangan,” kata Hasto. – Agensi/ Awani

Scroll to Top