
Jojo berkongsi impian untuk kembali ke gelanggang pertarungan selepas Ramadan ini. Foto Instagram Johan Ghazali.
JAGUH Muay Thai sensasi negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar memberi bayangan untuk kembali ke pentas pertarungan selepas berehat lebih dua bulan tanpa aksi kompetitif.
Perkembangan tersebut dikongsi Johan yang mesra disapa Jojo menerusi catatan di laman sosial pada Isnin.
Johan memberi petanda mengenai satu pertarungan selepas Ramadan ini, namun sebarang perincian termasuk mengenai lawan dan venue masih menjadi tanda tanya.
“Tak sabar nak kembali dan tunjukkan pada dunia siapa diri saya. Lepas Ramadan, Jojo kembali,” katanya.
Kali terakhir petarung berusia 19 tahun beraksi adalah pada 24 Januari lalu ketika menentang Johan Estupinan di pentas ONE 170.
Pertarungan tersebut bagaimanapun menyaksikan Johan tumpas tewas kepada bintang Colombia itu menerusi keputusan sebulat suara selepas tamat tiga pusingan dalam pertarungan kategori flyweight.
Enggan berputus asa Johan kembali membara untuk membalas dendam dan bersedia untuk kembali bertarung dengan Estupinan dalam pertarungan akan datang.
Sebagai rekod, petarung kelahiran Kuala Lumpur itu sudah melalui lapan aksi ONE Championship menerusi enam rekod kemenangan dan dua kekalahan.
Malah, Johan yang padu dengan tumbukannya berjaya melakar lima knockout (KO) ke atas lawannya sebelum ini.