Jojo jemput 'jurulatih dalam talian' lawan pickleball

Jojo jemput 'jurulatih dalam talian' lawan pickleball

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar membuat jemputan terbuka buat ‘jurulatih dalam talian’ untuk mengadakan pra perlawanan melalui sukan pickleball.

Jelas Johan atau lebih dikenali dengan Jojo, seperti benar-benar berharap ada orang sudi berlatih bersama-sama dengannya untuk membuktikan mereka adalah hebat seperti mana melontarkan kritikan kepada dirinya.

“Ajak orang sparring, orang tak nak, kalau ajak main pickleball, ada sudi tak?” kata Jojo di Instagram miliknya.

Sebelum ini, ada berlaku sedikit ketegangan antara dirinya dengan peminat apabila ramai mengecam dirinya dengan pelbagai kata-kata.

Malah, pada minggu lalu, atlet kelahiran Sarawak itu meluahkan rasa kecewa kerana peminat Malaysia sendiri yang mahu melihatnya jatuh, bukan penyokong dari negara luar.

“Orang yang nak jatuh aku ini, bukan orang lain, bukan dari negara lain tapi dari bangsa aku, darah aku.

“Aku tak faham betullah, macam mana kita nak maju? Sakit hati kadang-kadang,” tulisnya di Insta Story miliknya.

Jojo antara atlet muay thai negara yang beraksi di gelanggang One Championship dan berjaya membawa nama Malaysia terus dikenali.

Namun, ada segelintir peminat yang kurang senang dengan gaya dirinya yang membuatkan mereka menjadikan kekalahannya kepada Johan Estupinan pada bulan lalu sebagai sasaran untuk melepaskan kemarahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top