Johor sedia laksana sistem sekolah satu sesi

Johor sedia laksana sistem sekolah satu sesi

JOHOR BAHRU: Hanya 204 buah sekolah atau 17 peratus daripada keseluruhan 1,194 sekolah di negeri ini masih menjalankan sistem persekolahan dua sesi melibatkan sesi pagi dan petang kerana isu kepadatan jumlah murid dan pelajar.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, majoriti sekolah berkenaan terletak di daerah Johor Bahru dan Pasir Gudang.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi memastikan hasrat pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030 tercapai.

“Apabila melibatkan aspek pendidikan negeri, Johor akan mengikuti dasar dilaksanakan kerajaan persekutuan. Kita juga bersyukur dengan hasrat itu kerana pelaksanaan Sekolah Rintis Bangsa Johor juga melibatkan sistem persekolahan satu sesi.

“Kita yakin hasrat itu dapat dilaksana kerana Johor telah menerima lapan buah sekolah baharu menerusi pembentangan Belanjawan 2025 lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Microsoft AI Teach Johor Perkasa Komuniti Dengan Kemahiran Digital dan Teknologi AI di Politeknik Ibrahim Sultan di sini hari ini.

Tambah Aznan, pelaksanaan sistem persekolahan satu sesi tidak hanya memberi manfaat kepada murid dan pelajar, tetapi juga kepada golongan ibu bapa khususnya dalam aspek menguruskan jadual persekolahan anak-anak.

“Ambil contoh ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah sesi pagi dan juga petang, agak sukar menyusun jadual berbanding jika melibatkan hanya satu sesi sekolah sahaja.

“Sistem persekolahan satu sesi turut beri kelebihan kepada Johor kerana kita mempunyai sekolah agama, ini bermakna pengurusan sekolah agama juga dapat dilaksanakan dengan lebih teratur,” ujarnya.

Kelmarin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan menyasarkan untuk menyelesaikan sistem persekolahan satu sesi menjelang 2030.

Menurut beliau, sehingga kini hanya kira-kira 1,000 buah daripada 10,000 buah sekolah masih belum melaksanakan sistem persekolahan satu sesi berikutan mereka berdepan isu kepadatan murid di sekolah berkenaan. – UTUSAN

 

Scroll to Top