Johor sasar kedudukan tiga teratas pelaburan FDI

Johor sasar kedudukan tiga teratas pelaburan FDI

JOHOR terus melangkah ke hadapan sebagai destinasi pelaburan pilihan dengan keyakinan tinggi bahawa negeri ini bakal berada dalam tiga tangga teratas bagi pelaburan langsung asing (FDI) yang akan diumumkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) tidak lama lagi.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) kini berada dalam fasa penting dengan sokongan kukuh daripada pelabur antarabangsa.

Menurutnya, forum perniagaan yang dianjurkan oleh Persekutuan Perniagaan Singapura (SBF) dan sebuah bank di Singapura pada Khamis memperlihatkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi Johor sebagai hab pelaburan berdaya saing.

“Forum ini bukan sekadar sesi penerangan tetapi merupakan satu pencapaian penting selepas pemeteraian perjanjian JS-SEZ. Ia menandakan fasa seterusnya dalam usaha kita merealisasikan zon ekonomi khas ini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Forum itu turut dihadiri lebih 300 peserta termasuk 200 pelabur dari Singapura, Perancis, Jerman dan Malaysia yang berminat meneroka peluang pelaburan di Johor.

Menurut Onn Hafiz, pelaburan yang dibincangkan bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti, malah turut menyumbang kepada pembangunan infrastruktur dan pertumbuhan ekonomi negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa antara langkah utama dalam menjayakan JS-SEZ termasuk pembukaan Invest Malaysia Facilitation Centre-Johor (IMFC-J) yang bertindak sebagai platform memudah cara urusan pelaburan rentas sempadan.

Selain itu, Johor juga menubuhkan Johor Talent Development Council (JTDC) bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi permintaan industri masa depan.

“JS-SEZ kini bukan lagi sekadar perancangan tetapi sedang berkembang sebagai satu realiti yang membuahkan hasil. Dengan kerjasama erat semua pihak, Johor berada di landasan kukuh untuk menjadi kuasa ekonomi serantau,” katanya.

Beliau berharap pelaburan yang masuk ke negeri itu terus menjadi pemangkin kepada kemajuan Johor dan kesejahteraan rakyat.

Johor mencatatkan RM31 bilion pelaburan langsung asing (FDI) pada 2023 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perkhidmatan.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia negeri, Lee Ting Han berkata, sektor perkhidmatan menyumbang RM21.56 bilion kepada FDI manakala sektor perkilangan sebanyak RM9.43 bilion.

Menurutnya, Johor juga berjaya merekodkan RM12.05 bilion pelaburan langsung domestik (DDI) tahun lepas dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM6.86 bilion dan sektor perkilangan RM5.18 bilion.

Scroll to Top