Johor bina balai cerap termoden di Asia Tenggara

Johor bina balai cerap termoden di Asia Tenggara

bhnews@bh.com.my

JOHOR BAHRU: Johor bakal membina balai cerap termoden di Asia Tenggara yang akan dikenali sebagai Pusat Astronomi Baitul Hilal.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri Johor, Tosrin Jarvanti berkata, perkara itu sudah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Katanya, kos pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal yang akan dibina di Pontian dijangka menelan belanja RM15 juta.

“Dalam meninggikan syiar Islam, di negeri ini terdapat balai cerap bagi melihat anak bulan. Ada kewajaran Johor mempunyai satu balai cerap yang moden iaitu Pusat Astronomi Baitul Hilal.

“Kertas kerja dalam jawatan kuasa pembinaan pertama akan dibentangkan pada minggu hadapan dan kita harap dapat membinanya bermula awal tahun hadapan.

“Pembinaan Pusat Astronomi Baitul Hilal ini dijangka akan dapat disiapkan dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui selepas Festival Sekolah Agama Angkat Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) dengan kerjasama JAINJ di Yayasan Warisan Johor, di sini, semalam.

Tosrin berkata, Pusat Astronomi Baitul Hilal itu juga sebagai lambang berkembang syiar Islam di Johor.

“Selain melihat anak bulan sebelum menjelang Ramadan. Pusat ini juga berperanan sebagai bahan rujukan pelajar bagi mengkaji astronomi serta pusat sains cakerawala.

“Saya percaya ia juga akan menjadi tarikan destinasi pelancongan baru di Johor, seiring dengan lokasi Tanjung Piai yang dikenali sebagai Penghujung Selatan Benua Asia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top