am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Pusat membeli-belah dan aliran trafik di bandar raya ini dijangka sesak pada Sabtu ini berikutan cuti sekolah di Singapura dijadualkan bermula esok.
Tinjauan di beberapa pusat beli-belah sekitar Bandar Baru Uda, di sini, mendapati ada di antara rakyat Singapura mula berbelanja persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri sejak awal Ramadan.
Ia bagi mengelakkan kesesakan luar biasa berlaku terutama pada cuti hujung minggu.
Warga Singapura, Muhammad Juwaidi Norizan, 33, yang bekerja sebagai juruteknik berkata, dia sekeluarga berada di bandar raya ini selama dua malam untuk membuat perbandingan harga bagi membeli keperluan Aidilfitri.
Berasal dari Bukit Panjang, Singapura, katanya, dia gemar membeli-belah di Johor pada hari biasa berbanding cuti hujung minggu yang sesak.
“Saya sudah dua malam berada di Johor Bahru. Kami mahu membuat perbandingan harga, harga berpatutan dengan pelbagai variasi dan corak baju lebih segar serta terkini.
“Kebiasaannya saya dan isteri, Puteri Nuraini Ali, 33, akan beli sepasang baju raya dan biskut raya, manakala lebih dua pasang untuk dua anak kami berusia enam dan lima tahun.
“Corak dan fesyen baju terkini menjadi nilai tambah untuk berbelanja di Johor Bahru,” katanya.
Konsultan cukai, Fadzira Norazman, 29, berkata tidak semua kawasan pusat beli-belah di bandar raya ini didominasi warga republik itu.
“Tidak semua pusat membeli-belah ada warga Singapura, ada juga yang didominasi warga tempatan untuk membuat persiapan Aidilfitri.
“Tahun ini saya memang kena berjimat sebab anak sulung berusia tujuh tahun baru sahaja masuk sekolah, jadi membabitkan banyak kos,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd