am@hmetro.com.my
Kota Bharu: “Saya tidak tahu isteri sakit dan didiagnosis mempunyai sindrom Marfan kerana dia kelihatan sihat. Namun, saya tidak sangka selepas seminggu mendirikan rumah tangga isteri pergi meninggalkan saya,” kata Muhamad Syahmi Zulkifli, 27.
Muhamad Syahmi adalah suami kepada pempengaruh wanita, Nur Syahirah Saufi, 28, atau lebih dikenali sebagai SchaYang yang meninggal dunia 11.30 malam kelmarin selepas mengalami sesak nafas.
Katanya, dia amat gembira kerana bertemu jodoh dengan Allahyarham isterinya yang amat baik dan mengambil berat.
“Jodoh kami tidak panjang kerana hanya seminggu saja dapat hidup sebagai pasangan suami isteri.
“Saya pulang ke Terengganu selepas beberapa hari berkahwin kerana perlu bekerja dan akan kembali semula ke Kota Bharu pada hujung minggu, namun kami tidak sempat berjumpa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, dia mengetahui berita kematian isterinya selepas dihubungi keluarga mentua dan terus bergegas pulang ke Kota Bharu.
Katanya, walaupun sedih dengan pemergian isteri tersayang, namun dia reda dengan suratan yang sudah tertulis.
Terdahulu, SchaYang yang mempunyai pengikut seramai 86,200 di TikTok meninggal dunia jam 11.30 malam kelmarin di rumahnya di Pengkalan Datu di sini.
SchaYang berketinggian 186 sentimeter berkahwin dengan Muhamad Syahmi yang berketinggian 195 sentimeter pada 30 Januari lalu.
Mengulas lanjut, Muhamad Syahmi yang juga anak keempat daripada lapan adik beradik berkata, ketinggiannya adalah normal dan tidak mempunyai sindrom Marfan.
© New Straits Times Press (M) Bhd