yusri.muzamir@bh.com.my
Kuala Lumpur: Usaha membanteras scam pekerjaan dan sindiket penipuan adalah antara fokus utama yang akan dibincangkan pada platform ASEAN, tahun ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata perkara berkenaan sudahpun mula dibincangkan pada wacana harmoni (retreat) Menteri Luar ASEAN di Langkawi, Kedah baru-baru ini.
“Isu scam pekerjaan ini tidak akan sunyi sepanjang (Malaysia berperanan sebagai) Pengerusi ASEAN dan ia juga akan diangkat serta dibincangkan selain mencari kaedah terbaik untuk menyelesaikannya secara lebih tuntas.
“Kerjasama negara ASEAN juga akan ditingkatkan melalui Polis ASEAN (ASEANAPOL) umpamanya, bagaimana kita membanteras sindiket penipuan dan scam pekerjaan di rantau Asia Tenggara.
“Kita tahu sebelum ini, ia dibangkitkan di Labuan Bajo, Indonesia, diikuti di Vientiane, Laos. Jadi isu ini juga kita akan angkat pada tahun ini,” katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) sama ada isu sindiket scam pekerjaan bakal menjadi tumpuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun ini.
Mengenai pembebasan mangsa scam pekerjaan, Mohamad berkata, Myanmar baru-baru ini, membebaskan hampir 320 warga asing terbabit dalam sindiket terbabit di negara berkenaan.
Beliau berkata, tindakan berkenaan antara lain jelas membuktikan terdapat kerjasama dengan Myanmar bagi membanteras isu berkenaan dengan perkara itu akan diperhebat dari semasa ke semasa.
“Semua mangsa telahpun ditempatkan di Thailand (dan mereka) diserahkan melalui ‘National Referral Mechanism’ (Mekanisma Rujukan Kebangsaan) untuk semakan identiti dan sejauh mana pembabitan, termasuk warga kita.
“Insya-Allah selepas proses berkenaan selesai, semua mangsa akan dihantar pulang ke negara masing-masing,” kata Ahli Parlimen Kimanis daripada BN itu.
Sementara itu, Mohamad berkata, mekanisma bagi mengatasi kesan daripada perang dagangan antara negara kuasa besar juga menjadi antara fokus perbincangan ASEAN tahun ini.
Katanya, pemusatan ASEAN akan diutamakan pada persidangan kali ini, bertujuan meningkatkan kerjasama dagangan biarpun nilai dagangan intra-ASEAN kurang 25 peratus.
“Ini sebabnya kita kena tingkatkan kerjasama melalui pendekatan ASEAN dan hubungan dengan negara kuasa besar akan diteruskan. Amerika Syarikat (AS) umpamanya adalah rakan dagangan antara terbesar dan penting di rantau ini.
“Ini sebabnya kerjasama dalam dagangan akan ditingkatkan melalui mekanisme ASEAN, insya-Allah melalui peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN kita akan ambil peluang untuk melebarkan lagi kerjasama, malah di luar rantau ASEAN.
“Umpamanya ASEAN-GCC-China yang cukup penting kerana membabitkan populasi seramai 2.15 bilion dan ini peluang besar untuk kita memperhebat pencapaian pertumbuhan perdagangan.
“(Usaha memperhebat pencapaian pertumbuhan perdagangan) bukan sahaja intra-ASEAN tetapi membabitkan negara luar. Bahkan dengan AS juga kita akan perhebat hubungan kerjasama,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman).
Tamat/
© New Straits Times Press (M) Bhd