JKR gunakan kaedah UPV sahkan keutuhan struktur rumah terjejas di Putra Heights

JKR gunakan kaedah UPV sahkan keutuhan struktur rumah terjejas di Putra Heights

am@hmetro.com.my

SUBANG JAYA: Jabatan Kerja Raya (JKR) telah menggunakan kaedah Ultrasonic Pulse Velocity (UPV) sebagai langkah tambahan bagi memastikan keselamatan rumah yang terjejas akibat tragedi letupan paip gas dan kebakaran di Putra Heights, di sini, selamat untuk didiami.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kaedah ini bagi mengesahkan keutuhan struktur rumah.

Katanya, hasil ujian itu adalah konsisten dengan penilaian yang dibuat sebelum ini membabitkan 301 rumah.

“Rumah boleh diduduki dari segi kestabilan struktur dan kemudahan utiliti.

“Pemilik perlu masuk ke rumah mereka dan buat pembaikan. Sekiranya ada sebarang perkara luar biasa atau mencurigakan, penghuni boleh buat aduan untuk pemeriksaan lanjut bomba, JKR dan Tenaga Nasional Berhad.

“Kita buka satu kaunter Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) untuk aduan daripada pemilik rumah bagi tindakan pihak berkaitan. Itu adalah proses yang kita susun dan persetujui,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Putra Heights, di sini, hari ini.

Hussein berkata, pemeriksaan yang munasabah telah dijalankan oleh agensi berkaitan dan pendapat diambil kira untuk mengesahkan kediaman selamat untuk dihuni semula.

Katanya, JKR, bomba dan TNB juga telah mengesahkan 301 rumah dikategorikan sebagai selamat dan penghuni dibenarkan untuk pulang dan meneruskan proses pembaikan.

“Setakat ini, sebanyak 190 rumah telah diduduki semula,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan kediaman terjejas di sekitar lokasi kejadian juga terkawal.

“Polis menempatkan 124 anggota untuk mengawal 24 jam di perimeter kawasan bencana bagi menjaga keselamatan harta benda selain mengawal proses pengoperasian di lokasi bencana,” katanya.

Tragedi letupan dan kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top