am@hmetro.com.my
Kuantan: Satu Jawatankuasa Siasatan ditubuhkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang untuk menyiasat berkaitan tata kelakuan seorang pegawai perubatan yang dikatakan berkelakuan tidak senonoh di sebuah fasiliti di negeri ini.
JKN Pahang berkata, jabatan itu menerima tiga aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) pada 9 dan 10 April lalu.
“Pegawai yang diadu dipercayai berkelakuan tidak senonoh dan tidak profesional terhadap orang awam.
“Justeru, Jawatankuasa Siasatan dilantik semalam bagi menyiasat kesahihan aduan itu.
“Siasatan kini sedang dijalankan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
JKN Pahang menasihati orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Pasukan siasatan boleh dihubungi di atas talian 09-570 7836/7835/7847 (Urus Setia Induk Aduan/Unit Sumber Manusia JKN Pahang).
“JKN Pahang juga tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga siasatan disempurnakan bagi menjamin integriti siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd