Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan 7,215 kes penyeludupan sepanjang tahun lepas dengan nilai rampasan dan cukai berjumlah RM1.644 bilion, meningkat 85.92 peratus berbanding RM884.27 juta pada 2023.
Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata kejayaan itu sebahagiannya disebabkan perubahan strategi penguatkuasaan JKDM yang dilaksanakan tahun lepas iaitu daripada pendekatan berasaskan output atau bilangan kes kepada outcome (nilai dan duti/cukai).
“Tumpuan utama diberikan kepada kes-kes berimpak tinggi, seperti kes melibatkan kontena berskala besar. Pendekatan ini bertujuan memaksimumkan keberkesanan tindakan penguatkuasaan dan memastikan hasil negara dilindungi dengan lebih menyeluruh,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Beliau berkata JKDM adalah ‘tentera’ ekonomi yang berperanan penting dalam memacu dasar fiskal negara, di samping memastikan pengurusan perdagangan teratur serta membanteras penyeludupan sekali gus menyumbang kepada kemakmuran negara.
“Peruntukan kepada JKDM bukan sekadar kos operasi seperti agensi kerajaan lain tetapi merupakan pelaburan strategik untuk memastikan pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara dari sudut kutipan hasil dan keberkesanan penguatkuasaan,” katanya.
Terdahulu, semasa menjadi tetamu rancangan itu, Anis Rizana berkata pihaknya telah memperoleh 66 unit mesin pengimbas baharu berteknologi tinggi serta dilengkapi sistem kecerdasan buatan (AI) sebagai alat bantuan operasi (ABO) bagi membantu pegawai menjalankan tugas dengan lebih cekap.
“Selain itu, JKDM telah membaik pulih dan menyelenggara 30 bot unit marin JKDM bagi memerangi jenayah rentas sempadan serta perolehan 20 anjing pengesan dadah jenis Labrador Retriever yang di tempatkan di seluruh negara bagi memastikan pengesanan barang terlarang dapat ditingkatkan,” katanya.
Beliau berkata jabatan itu juga telah mengambil langkah proaktif dengan menggunakan peruntukan yang diberikan untuk membaik pulih kuarters yang telah uzur melibatkan 124 lokasi perumahan kastam di seluruh negara demi menjaga kebajikan anggotanya.
“Selain itu, JKDM memberi bantuan kepada 20 unit rumah (keluarga) melibatkan warganya yang menjadi mangsa banjir terutamanya di Kelantan yang bukan sahaja bertujuan untuk meringankan beban, tetapi memastikan mereka dapat kembali meneruskan kehidupan dengan selesa selepas menghadapi musibah itu,” katanya.
Dalam pada itu, Anis Rizana menjemput masyarakat daripada pelbagai peringkat umur seperti pelajar sekolah, mahasiswa, penjawat awam serta pekerja swasta untuk hadir memeriahkan sambutan Hari Kastam Sedunia ke-43 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Isnin ini.
“Pelbagai aktiviti menarik, pameran yang berinformatif oleh hampir 30 pempamer selain akan ditonjolkan persembahan teater ‘Syahbandar’ yang mengimbau sejarah peranan kastam sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd