JIM serbu 10 penginapan warga asing, 66 ditahan

JIM serbu 10 penginapan warga asing, 66 ditahan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kajang: Jabatan Imigresen Malaysia menggempur sepuluh premis penginapan diduduki warga asing dan menahan seramai 66 individu termasuk seorang kanak-kanak perempuan di sekitar Bandar Baru Bangi dan Kajang, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi berkenaan dilakukan 51 anggota Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya yang bermula pada 12.05 tengah malam.

Menurutnya, serbuan dilakukan berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan selama tiga hari.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, pasukan operasi diatur gerak ke premis penginapan berkenaan dan memeriksa seramai 110 individu yang terdiri daripada warga asing dan warga tempatan.

“Susulan itu, seramai 66 warganegara asing yang terdiri daripada 28 lelaki, 30 wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, enam lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, semua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

“Semua warga asing berkenaan dihantar ke Depot Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top