JIM Sabah buru individu bocor maklumat operasi

JIM Sabah buru individu bocor maklumat operasi

Tawau: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah akan mendapatkan kerjasama Kementerian Komunikasi bagi mengesan pihak yang ‘membocorkan’ maklumat berkaitan operasi agensi berkenaan di Keningau baru-baru ini menerusi hebahan secara meluas di Whatsapp.

Pengarahnya Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusof berkata, hebahan tidak bertanggungjawab termasuk mengambil gambar kehadiran kenderaan imigresen dan memaklumkan pergerakan penguat kuasa itu secara langsung mengganggu operasi JIM.

“Mereka siap mengambil gambar kehadiran kenderaan imigresen, pergerakan pun diiringi tonto-tonto mereka, maklumat mereka hantar khusus memaklumkan ke dalam kumpulan Whatsapp bahawa ada operasi di kawasan tersebut.

“Kita akan cari mereka ini melalui risikan dan akan mendapatkan bantuan Kementerian Komunikasi selain kita juga sebenarnya bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia bagi tujuan menyelesaikan perkara ini,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau turut percaya bahawa sebahagian penyebar maklumat itu merupakan warga asing yang berkepentingan.

“Sekiranya penyebar itu merupakan warganegara Malaysia, orang itu adalah pengkhianat negara, menjual kedaulatan negara, sanggup menjadi tali barut dalam menghebahkan operasi penguat kuasa sehingga membolehkan pendatang haram ini sempat lari daripada pihak penguat kuasa,” katanya.

Sementara itu, Sitti Saleha berkata, 462 individu diperiksa dalam operasi di Tawau dan Semporna semalam hingga pagi ini dengan 139 ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki dokumen pengenalan diri.

“Individu yang ditahan berumur antara setahun hingga 72 tahun yang terdiri daripada 53 lelaki, 37 wanita dan 49 kanak-kanak, kesemua tahanan ini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau,” katanya.

Menurutnya operasi berdasarkan aduan awam itu membabitkan 66 anggota penguat kuasa dan dijalankan antaranya di tapak pembinaan dan rumah setinggan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top