Jepun rancang tempatkan berpandu jarak jauh, mampu serang Korea Utara dan China

Jepun rancang tempatkan berpandu jarak jauh, mampu serang Korea Utara dan China

TOKYO: Jepun merancang untuk menempatkan peluru berpandu jarak jauh ke pulau selatannya, Kyushu, susulan kebimbangan terhadap pendirian pentadbiran Amerika Syarikat (AS) dalam perjanjian keselamatan dan ketegangan serantau yang berterusan.

Peluru berpandu tersebut berupaya mencapai jarak 1,000 kilometer (km) iaitu sehingga ke Korea Utara dan kawasan pantai China yang akan ditempatkan di dua pangkalan dengan kubu peluru berpandu sedia ada di Kem Yufuin di Oita dan Kem Kengun di Kumamoto, tahun depan.

Sistem senjata baharu ini dilaporkan adalah versi terkini daripada peluru berpandu Type-12 pasukan pertahanan diri darat (GSDF) yang digunakan untuk serangan dari darat ke kapal.

Langkah ini bertujuan memperkukuhkan rantaian pertahanan strategik pulau Okinawa dan sebahagian daripada pembangunan kemampuan serangan balas Jepun sekiranya negara itu diserang, menurut laporan agensi berita Kyodo yang memetik sumber kerajaan.

Penghantaran peluru berpandu jarak jauh di pulau Okinawa yang terletak dalam jarak 110km dari Taiwan tidak mungkin berlaku bagi mengelakkan provokasi terhadap China. Pulau-pulau ini sudah menempatkan beberapa bateri peluru berpandu dengan jarak yang lebih pendek.

Profesor emeritus di Universiti Prefektural Fukui, Yoichi Shimada berkata, dengan ancaman daripada China dan Korea Utara yang semakin meningkat, adalah wajar bagi Jepun untuk bertindak balas dengan sistem senjata yang lebih berkesan.

“Saya rasa Jepun perlu mengambil langkah segera seperti menempatkan peluru berpandu jarak jauh untuk membangunkan keselamatan yang lebih kukuh.”

Pada 6 Mac, Presiden AS, Donald Trump mempersoalkan perjanjian keselamatan Jepun-AS yang tidak seimbang dan hanya memberi keuntungan besar secara ekonomi kepada Jepun.

Perjanjian itu pertama kali ditandatangani pada tahun 1951, ketika Jepun masih berada di bawah penjajahan tentera AS. Keupayaan Jepun untuk mengambil tindakan ketenteraan terhad di bawah Artikel 9 dalam perlembagaannya yang pada dasarnya dilaksanakan oleh Washington selepas Perang Dunia Kedua.

Shimada percaya langkah proaktif seperti meningkatkan sistem peluru berpandu akan menguatkan hubungan Jepun-AS, dan permintaan daripada pentadbiran Trump untuk perjanjian pertahanan timbal balik dengan Jepun agak munasabah.

Scroll to Top