Jeff Lee tak sanggup lihat flat usang

Jeff Lee tak sanggup lihat flat usang

KUALA LUMPUR – Insiden dinding sebuah rumah di Flat Perumahan Awam Loke Yew yang tercabut susulan hujan lebat beserta ribut yang berlaku di sekitar ibu negara baru-baru ini membuatkan pemaju hartanah terkenal, Datuk Seri Jeff B K Lee sayu.

Malah beliau mendedahkan, ia juga antara punca mengapa dirinya sentiasa bekerja keras membangunkan projek pembangunan semula pangsapuri uzur demi keselesaan penduduk terutamanya di Wilayah Persekutuan.

Kata Jeff Lee yang juga pengasas dan Pengerusi Eksekutif syarikat hartanah terkenal JL 99 Group , beliau banyak terlibat dengan pelbagai projek pembangunan semula flat-flat usang selepas melihat keadaan kebanyakan kediaman itu uzur, kotor dan tiada kemudahan untuk golongan warga emas.

“Saya pernah melaksanakan projek pembangunan semula di Razak Mansion yang satu ketika dulu nampak seperti setinggan bandar dan begitu uzur. Projek itu memberikan kelegaan dan kepuasan para penduduk yang duduk dalam rumah sempit, persekitaran kotor serta tiada kemudahan yang baik.

“Sebelum saya melaksanakan mana-mana projek pembangunan semula, saya dan pasukan akan berinteraksi dengan penduduk di situ, kita cuba fahami dulu apakah yang dikehendaki oleh mereka, apakah masalah dan isu-isu menghantui mereka.

“Kita buat projek seperti ini bukan kerana mahu untung sahaja sebaliknya membantu golongan miskin dan tidak terdaya memiliki sebuah rumah yang lebih baik.

“Cabaran untuk melaksanakan projek-projek pembangunan ini sangat besar namun ia menjadi lebih mudah seandainya kita mempunyai sokongan kerajaan. Kelulusan cepat, syarat juga tidak begitu ketat dan boleh berbincang.

“Selalunya kita boleh ambil masa sehingga dua tahun untuk siapkan projek dan biar penduduk masuk mendiami sebuah flat yang diubah suai menjadi ‘kondominium’, kalau dulu mereka beli dengan harga puluh kini sudah seperti ‘durian runtuh’ lepas bangun semula.

“Adakah saya sanggup untuk lihat flat-flat usang ini terus berada dalam keadaan seperti ini dalam tempoh 10, 20 tahun akan datang? Saya tidak sanggup langsung kerana itu juga saya terus melakukan pembangunan semula ini,” katanya.

Jeff Lee

Ketika ini, syarikat milik Lee dalam proses melaksanakan projek pembangunan semula, satu di flat Desa Bakti, flat Seri Indah dan satu lagi di Maluri, Cheras.

“Kita sangat berharap kerajaan dapat bantu koordinasikan pelaksanaan projek-projek seperti ini, contohnya beri kita kelulusan dengan cepat tanpa birokrasi, caj pembangunan keseluruhan dikecualikan, longgar syarat serta ‘density’ tinggi PPA1200.

“Kerajaan juga dicadang memilih pemaju yang mempunyai rekod prestasi cemerlang bagi memastikan agenda kerajaan membantu rakyat terus menjadi realiti,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas hadir sebagai panel dalam program ‘Pembangunan Semula Kampong Bharu’ di sini.

Jelas Jeff Lee lagi, apabila sesebuah projek pembangunan semula itu dilaksanakan harga rumah-rumah itu juga akan naik sekali gus menaikkan taraf kehidupan serta sosio ekonomi golongan B40 kepada M40.

“Saya beri contoh yang begitu dekat di hati saya, projek Razak Mansion, jika harga asalnya sekitar RM150,000 selepas kita lakukan pembangunan semula harganya sudah melonjak antara RM300,000 hingga RM350,000 atau lebih lagi.

“Bukankah ini  menguntungkan pemilik rumah tersebut? Pada saya inilah cara meningkatkan taraf hidup serta kualiti rakyat kita,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Scroll to Top