JDT semakin hampir menyalakan bunga api

JDT semakin hampir menyalakan bunga api

sukan@hmetro.com.my

Johor Bharu: Bayangan kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut semakin menggamit Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila melayani kunjungan Perak FC pada aksi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, malam esok tatkala skuad Harimau Selatan hanya memerlukan satu lagi kemenangan untuk dinobat selaku juara bagi musim 2024/2025.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan yang sepatutnya dijadual pada Jumaat ini terpaksa diawalkan malam esok bagi memberi laluan kepada JDT untuk membuat persiapan menentang kelab dari Thailand, Buriram United dalam saingan 16 pasukan terbaik Zon Timur Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Chang Arena, 4 Mac ini.

Pengendali JDT Hector Bidoglio tampak tenang untuk berdepan skuad kendalian Yusri Che Lah apabila menaruh kepercayaan kepada pemain untuk memburu tiga mata keramat bagi merangkul kejuaraan liga kali ke-11 berturut-turut.

“Mana-mana pasukan yang lawan JDT, kami tetap menghormati mereka termasuk Perak FC dan jangkakan ia perlawanan sukar kerana pasukan lawan dibarisi pemain muda yang perlu diawasi tatkala mereka gemar bermain dengan corak serang balas yang pantas.

“Apapun, kami harus fokus kepada persiapan diri dengan memperbaiki apa jua kelemahan yang ada sebelum turun beraksi dan meskipun kami perlu satu lagi kemenangan untuk muncul juara tapi biarlah aksi 90 minit permainan menjadi penentu.

“Akan ada penggiliran pemain bagi menghadapi Perak FC dan belum pasti lagi siapa akan diturunkan namun saya akan menyusun kesebelasan terbaik pada perlawanan itu nanti malah aksi di gelanggang sendiri pasti meningkatkan semangat setiap pemain,” katanya.

Pengendali kelahiran Argentina itu juga mengesahkan kesemua pemain bebas daripada kecederaan dan bersedia untuk diturunkan pada aksi yang dianggap penting itu kecuali Feroz Baharudin dan Shio Hong Wang yang masih dalam proses pemulihan.

Malah, beliau juga optimis kecemerlangan dalam saingan ACLE baru-baru ini meningkatkan lagi motivasi pemain untuk mengekalkan momentum permainan berintensiti tinggi dan bersediaberdepan The Bos Gaurus yang kemungkinan beraksi dengan corak bertahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top