sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Pemain bek kanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Matthew Davies mengingatkan rakan sepasukan supaya mengawasi kelicikan penyerang Buriram United FC, Suphanat Mueanta apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi kedua pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, malam esok.
Matthew berkata, walaupun Suphanat berstasus penyerang, tapi kelibatnya dalam skuad utama Buriram United amat licik apabila bermain secara ‘free role’ dan berada di posisi sayap kiri dan kanan selain membantu posisi tengah.
“Pemain itu cukup berbahaya dan taktikal permainannya mengelirukan.
“Jadi, kita perlu berwaspada dengan kelicikan dan corak dia bermain kerana tidak dinafikan Thailand memiliki pemain muda cukup berkualiti.
“Apapun saya percaya jurulatih (Hector Bidoglio) sudah membuat persiapan bagi menyekat kelicikan pemain berjersi 24 itu kerana ia perlawanan penting buat JDT.
“Aksi 90 minit itu amat mencabar bukan sahaja buat JDT malah pasukan lawan turut berdepan situasi sama.
“Kami percaya mampu beri yang terbaik menentang Buriram dan berpegang kepada falsafah diterap dalam kelab iaitu sentiasa beraksi dengan permainan berintensiti tinggi,” katanya.
Davies menzahirkan perasaan teruja apabila penyokong bakal memenuhi ruang tempat duduk stadium selepas tiket habis dijual, sekali gus menjadi penyuntik semangat kepada pemain JDT.
Sementara itu, kapten Buriram United FC, Kenneth Dougall, optimis pasukan itu mampu melakar kemenangan ke atas JDT walaupun terlepas peluang melakar kemenangan pada aksi pertama di Buriram, 4 Mac lalu.
“Untuk berdepan JDT, kami tidak fokus kepada seorang pemain sahaja seperti anda sebutkan iaitu pemain nombor 9 (Bergson da Silva), sebaliknya jika ia berlaku dan pemain lain yang menjaringkan gol, pasti merugikan kami.
“Oleh itu, semua pemain yang beraksi malam esok amat berbahaya dan ia perlawanan ketiga kami dengan JDT selepas dua perlawanan sebelum ini berakhir tanpa sebarang jaringan,” katanya.
Ā© New Straits Times Press (M) Bhd