JDT kekal fokus berdepan KL Rovers

JDT kekal fokus berdepan KL Rovers
JDT kekal fokus berdepan KL Rovers

Bidoglio – Foto: FB Johor Southern Tigers

BIARPUN membawa bekal selesa untuk aksi kedua saingan pusingan 16 Piala Malaysia berdepan KL Rovers di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu, namun kesebelasan Johor Darul Ta’zim (JDT) masih perlu mengekalkan fokus dalam usaha mengekalkan momentum kemenangan.

Pengendali skuad Harimau Selatan, Hector Bidoglio berkata, kesemua pemain masih perlu mempamerkan aksi terbaik di sepanjang perlawanan dalam usaha mengesahkan kemaraan ke saingan suku akhir.

“Keputusan aksi pertama yang memihak kepada kami memang sesuatu yang bagus, namun kami masih perlu meningkatkan permainan kami dengan lebih berintesiti dan dinamik.

“Ini kerana kami perlu fokus untuk saingan kali ini (Piala Malaysia) kerana bagi kami setiap perlawanan adalah sukar.

“Oleh itu ia memerlukan kami untuk kekal fokus beraksi dengan lebih baik dalam setiap perlawanan yang diharungi,” katanya.

Pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 20 November lalu, JDT menang 3-0 hasil jaringan hatrik pemain import Heberty Fernandes.

Mengulas mengenai kesebelasan pemain yang diturunkan pada aksi pertama lalu, Bidoglio berkata, kesemuanya telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan bagi membantu kemenangan pasukan.

Katanya, kesebelasan yang diturunkan juga telah membuktikan mereka sentiasa bersedia untuk beraksi pada bila-bila masa.

“Ya, kami menurunkan ramai pemain yang jarang beraksi pada aksi pertama lalu kerana kami percaya mereka juga merupakan pemain yang baik dan perlukan minit permainan.

“Kami juga mempunyai ramai pemain terbaik dan kesemua mereka sentiasa cuba memberikan yang terbaik apabila diturunkan,” katanya.

Scroll to Top