JDT hilang tonggak pertahanan

JDT hilang tonggak pertahanan

rizar@mediaprima.com.my

Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berdepan cabaran getir tatkala perlu membuat rombakan kecil di posisi pertahanan apabila melayani kunjungan Sabah FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam esok.

Difahamkan tonggak pertahanan skuad Harimau Selatan, Feroz Baharudin mengalami kecederaan ketika sesi latihan dan bakal melupakan aksi saingan liga elit domestik dan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada musim ini.

Dengan perkembangan terbaharu itu, Feroz tergolong bersama Shio Hong Wan dan Syahmi Safari yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami yang memaksa kedua-dua pemain itu tersisih beraksi bersama skuad Harimau Selatan.

Situasi itu tidak mengundang kegusaran buat pengendali JDT, Hector Bidogilo yang pastinya sudah ada `resepi’ yang ampuh bagi mencari pengganti Feroz untuk mengemudi benteng pertahanan ketika bayangan antara Natxo Insa dan Shahrul Saad bakal menjadi pilihan.

Selain itu, pengendali kelahiran Argentina itu juga mempunyai pilihan untuk meletak gandingan import di posisi berkenaan ketika Jordi Amat, Shane Lowry, Eddy Israfilov dan Park Jun-heong yang dilihat berpotensi diturunkan menentang skuad kendalian Martin Stano.

Apa jua perancangan Bidoglio, semestinya misi utama tertumpu kepada memburu tiga mata di halaman sendiri ketika skuad The Rhinos tampak memasang impian untuk mencuri sekurang-kurang satu mata pada perlawanan itu nanti.

Namun Bidoglio lebih mengutamakan persiapan pasukannya berbanding untuk memikirkan keghairahan pasukan lawan yang mengidam memburu kemenangan malah beliau juga memberi penekanan corak permainan berdinamik dan berintensiti tinggi.

“Falsafah permainan JDT mengutamakan corak permainan dinamik dan berintensiti tinggi dengan mengawal permainan dan mengelak daripada pasukan lawan menguasai posisi tengah malah kami juga lebih menumpukan persiapan diri sendiri dan mengekalkan disiplin permainan yang ampuh,” katanya.

Yang pasti untuk pertembungan dua pasukan yang berada di kelompok atas liga, penyerang prolifik, Bergson da Silva yang sudah meledak 19 gol sepanjang aksi liga bakal dipertaruhkan skuad Harimau Selatan bagi memastikan kejituan barisan serangan mampu menjelmakan kemenangan.

Malah barisan tengah juga yang bakal mempertaruhkan Juan Muniz, Afiq Fazail dan Heberty Fernandes yang diharap menjadi nadi utama untuk menggerak jentera tengah bagi melancarkan taktikal permainan dalam usaha memburu kemenangan ke-16 pada saingan liga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top