JDT benam Kedah 6-1 di Darul Aman

JDT benam Kedah 6-1 di Darul Aman

LALOR SETAR: Tiga jaringan tonggak utama JDT, Bergson Da Silva membantu Harimau Selatan membenam Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 6-1 di Stadium Darul Aman, sebentar tadi.

Seawal minit pertama, JDT melaungkan amaran awal buat Sang Kenari apabila hantaran Heberty Fernandes, tepat menemui Bergson untuk penyerang kelahiran Brazil itu berdepan satu sama satu dengan penjaga gol tuan rumah, Ifwat Akmal Chek Kassim.

Peluang itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan Bergson setelah Ifwat lebih pantas mara ke arahnya untuk menutup segala ruang, sekali gus menepis percubaan dilakukan penyerang kelahiran Brazil itu.

Meskipun tuan rumah beberapa kali membuat ancaman balas, gerakan dilakukan JDT nyata terlalu ampuh untuk dikekang. Harimau Selatan akhirnya mendapatkan gol pertama pada minit ke-16 menerusi Bergson yang berjaya memperdaya Ifwat, sebaik dia menerima hantaran jauh dari Park Jun Heong.

Seminit berselang, JDT berjaya menjadikan kedudukan 2-0. Bermula dengan hantaran serupa dilakukan Jun Heong kepada Bergson, penyerang prolifik itu melakukan ‘back heel’ untuk membuka ruang kepada penyerang naturalisasi kebangsaan, Romel Morales melakukan jaringan.

JDT memperolehi gol ketiga pada minit ke-22 menerusi sepakan penalti diambil Bergsonb setelah pertahanan kanan KDA FC, Wan Amirul Afiq menjatuhkan Oscar Arribas ketika dia cuba mengekang pergerakan pemain sayap dari Sepanyol itu.

Meskipun ‘dibedil’ bertubi-tubi, KDA FC nyata tidak berputus asa. Hantaran jauh dilakukan kapten, Akmal Zahir membuka ruang kepada Afeeq Iqmal Rosli untuk melepasi perangkap ofsaid JDT pada minit ke-33, sebelum dia memperdaya Syihan untuk gol pertama tuan rumah.

Memasuki babak kedua,  momentum permainan JDT agak perlahan. Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang mereka daripada menghasilkan gol keempat melalui Jordi Amat pada minit ke-60, yang melakukan tandukan sebaik menerima bola sepakan sudut Heberty Fernandes.

Pada minit ke-77, jaguh dari selatan tanah air itu hampir mendapatkan gol kelima namun rembatan dilakukan Bergson dari luar kotak penalti sekadar singgah di palang ketika Ifwat sudah pun tertewas.

Gol kelima dicari JDT akhirnya tiba jua pada minit ke-52 apabila rembatan dari luar kotak penalti dilakukan pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor terkena Wan Amirul Afiq menyebabkan bola membias dan meleret memasuki gawang.

JDT kemudiannya memuktamadkan keputusan perlawanan 6-1 setelah Bergson menyempurnakan hat trick, sekali lagi menerusi sepakan penalti setelah Muhamadou Sumareh dikasari Aiman Farhan Fauzi pada masa tambahan perlawanan. -UTUSAN

Scroll to Top