JDT bakal pahat sejarah baharu

JDT bakal pahat sejarah baharu

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk menumpaskan Perak FC dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), malam ini.

Jika berjaya mengalahkan The Bos Gaurus, skuad Harimau Selatan boleh bermain ‘bunga api’ lebih awal tanpa menunggu aksi terakhir Liga Super untuk dinobatkan sebagai juara.

Kemenangan ke atas skuad bimbingan Yusri Che Lah akan membolehkan anak buah Hector Bidoglio memahat sejarah baharu selaku pasukan paling lama mempertahankan kejuaraan Liga Super.

Untuk rekod, kali pertama JDT memenangi trofi Liga Super ialah pada musim 2014 dan sejak itu mereka terus mempertahankan kejuaraan tersebut untuk 10 musim berturut-turut.

Skuad Harimau Selatan juga akan melengkapkan kejayaan ‘treble’ jika berjaya merangkul kejuaraan Liga Super selepas mereka menjulang trofi Piala Sumbangsih dan Piala FA sebelum ini.

“JDT tetap menghormati lawan dan kami jangka ia akan menjadi perlawanan sukar. Perak dibarisi pemain muda yang bersemangat untuk membuktikan kemampuan mereka, jadi kita tidak boleh pandang rendah azam mereka.

“Bagaimanapun, kami tidak terlalu memikirkan soal permainan mereka sebaliknya memberi tumpuan merencana strategi ampuh bagi mengutip tiga mata,” kata Bidoglio.

Harimau Selatan juga berpeluang mempertahankan Piala Malaysia yang dimenangi musim lalu apabila bakal berdepan Sri Pahang FC pada 12 April depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.-UTUSAN

Scroll to Top