JBPM Terengganu keluar 26 notis hapus bahaya

JBPM Terengganu keluar 26 notis hapus bahaya

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengeluarkan 26 notis penghapusan bahaya kebakaran dalam pemeriksaan sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Pengarahnya Nor Mahathir Muhamad berkata, notis itu dikeluarkan hasil 103 pemeriksaan yang dijalankan di seluruh negeri dalam tempoh bermula 13 Januari hingga semalam.

Beliau berkata, pemeriksaan tertakluk di bawah Seksyen 2 Tafsiran Bahaya Kebakaran Akta Perkhidmatan Bomba 1988.

“Pemeriksaan disasarkan kepada pusat membeli belah dan kedai-kedai tumpuan orang awam mencari kelengkapan persediaan menyambut perayaan Tahun Baru Cina.

“Selain itu termasuk inap desa dan hotel, serta tempat himpunan yang menjadi tumpuan ramai dan pemeriksaan masih berterusan sehingga 6 Februari depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Kebakaran Musim Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di sebuah pusat beli belah, di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah.

Dalam pada itu, Nor Mahathir berkata, pada sambutan Tahun Baru Cina yang lalu, sebanyak 63 kes kebakaran, justeru pihaknya meningkatkan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko.

Katanya, ia termasuk rondaan di pantai dan lokasi hakisan yang boleh mengundang bahaya.

“Langkah ini bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku berikutan Monsun Timur Laut belum berakhir,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top