Jawi milik kita semua – Lorenica Frenila

Jawi milik kita semua – Lorenica Frenila

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Gaya guru berketurunan Rungus, Sabah ini bersahaja menulis jawi, mencuri tumpuan sehingga mengimbau kembali ke zaman 70-an ketika tulisan itu pernah menjadi lambang perpaduan kaum di negara ini kerana digunakan kebanyakan rakyat Malaysia.

Dalam satu video tular di Facebook (FB), Lorenica Frenila Masundim dilihat menulis peribahasa Bagai Aur Dengan Tebing dalam tulisan jawi dengan kemas.

Menurut Lorenica, 34, dia mengambil inisiatif itu sebagai sebahagian daripada tugasnya mengajar topik jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran.

Katanya, dia berpeluang mempelajari jawi ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya, Kota Kinabalu, pada 2009.

“Mungkin ramai tidak tahu, sejak 2020 tulisan jawi dimasukkan dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat sebelum diteruskan hingga ke Tahun Enam bertujuan memperkaya murid dari aspek seni, warisan dan sejarah Melayu.

“Disebabkan peribahasa yang ditulis menggunakan tulisan jawi sangat sedikit dalam buku teks Bahasa Melayu, saya merakam satu video sebagai kenangan pada 10 Oktober lalu.

“Selepas murid selesai menyiapkan tugasan, saya merakam beberapa video hasil kerja mereka seperti kebiasaan rutin saya sebelum berkongsikannya di laman FB,” katanya kepada Harian Metro.

Lorenica berkata, dia tidak menyangka perkongsian di FB miliknya, Loren Fren, Khamis lalu meraih perhatian ramai dan reaksi positif termasuk bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

“Ramai mengimbau masa lalu zaman 70-an dan 80-an ketika tulisan jawi masih dikenali dan digunakan kebanyakan rakyat Malaysia yang mana paling mereka rindukan adalah persefahaman kaum dan kesatuan pada waktu itu.

“Ramai juga yang rindu belajar tulisan jawi dan mereka juga berharap pembelajaran tulisan jawi diperluaskan lagi dan tidak kurang juga melontarkan komen negatif,” katanya.

Katanya, dia berharap persepsi mengenai jawi adalah tulisan umat Islam sahaja perlu diperbetulkan berikutan ia tulisan klasik yang digunakan untuk menulis Bahasa Melayu sama seperti tulisan lain di dunia termasuk tulisan rumi, China, India, Korea dan Thailand.

“Mengajar dan belajar jawi sama sekali tiada kaitan dengan pengislaman mahupun mencemarkan kesucian agama Islam. Ingat Jawi bukan tulisan agama, jawi milik kita semua.

“Jadi apabila tulisan ini diselitkan dalam sistem pendidikan sebagai pengenalan asas sahaja, janganlah kita melulu berfikiran negatif.

“Pandanglah dari aspek positif iaitu ke arah melestarikan warisan seni, budaya dan sejarah tulisan khas Bahasa Melayu yang susah payah diwujudkan nenek moyang kita dan pernah menjadi tulisan yang menyatu padukan masyarakat pelbagai kaum.

“Jika kita ingin melihat masa depan negara yang lebih aman, bukalah sedikit ruang untuk menerima budaya sesama rakyat Malaysia,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top