mdroji@bh.com.my
Kuching: Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, kekal sebagai Yang Dipertua (YDP) Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) apabila jawatan itu tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung parti itu hujung minggu ini.
Pengesahan itu diumumkan Pengerusi Pemilihan Perhimpunan Agung PBB ke-16, Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, hari ini.
Awang Bemee berkata, dua jawatan Timbalan Yang Dipertua juga kekal disandang dua Timbalan Premier iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Turut tidak dipertandingkan, dua jawatan Naib Yang Dipertua Kanan yang disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom.
Awang Bemee turut mengumumkan semua penyandang jawatan dalam Wanita PBB dikekalkan apabila tiada pertandingan diadakan bagi sayap berkenaan pada perhimpunan agung parti berkenaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu dan Ahad ini.
Menurutnya, berikutan sokongan penuh semua 82 cawangan, Ketua Wanita PBB kekal diterajui oleh Datuk Seri Fatimah Abdullah, manakala Timbalan Ketua 1 disandang oleh Datin Seri Angelina Ujang dan Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali sebagai Timbalan Ketua 2.
“Jawatan Naib Ketua 1 pula kekal disandang oleh Datuk Seri Nancy Shukri, Umang Nangku Jabu sebagai Naib Ketua 2 dan Datuk Rubiah Wang sebagai Naib Ketua 3,” katanya pada sidang media selepas cabutan undi bagi menentukan nombor calon bertanding di Ibu Pejabat PBB di Jalan Bako, di sini, hari ini.
Awang Bemee berkata, 13 Ahli Jawatankuasa Pergerakan Wanita PBB turut menang tanpa bertanding sekali gus mengekalkan kestabilan kepimpinan sayap parti itu.
Beliau berkata, persaingan sengit dijangka berlaku bagi jawatan Naib Presiden Sayap Bumiputera PBB yang membabitkan enam calon bertanding bagi merebut empat kerusi yang dipertandingkan.
Calon yang bertanding adalah Datuk Ibrahim Baki, Datuk Len Talif Salleh, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Seri Julaihi Narawi.
“Bagi jawatan Naib Presiden Sayap Pesaka, tiada pertandingan diadakan, sekali gus mengesahkan Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Gerawat Gala sebagai penyandang jawatan itu,” katanya.
Selain itu, Awang Bemee berkata, Ahli Jawatankuasa bagi Sayap Pesaka dan Sayap Bumiputera turut dipertandingkan yang menyaksikan 19 calon menawarkan diri untuk mengisi 14 jawatan.
Calon yang bertanding bagi sayap Pesaka ialah Henry Kilah, Datuk Daniel Jubang, Datuk Jefferson Jamit, Datuk Dennis Ngau, Lesley Luyoh, Lidan Asan, Jawan Nyaun, Datuk Willie Mongin, Datuk Henry Sum Agong, Jampi Tutong, Michael Mujah, Kalang Jok, John Ilus, Dr Simon Sindang, Leonard Jambu, James Agat, Datuk Richard Rapu, Jerip Susil, dan Datuk Paulus Palu Gumbang.
Bagi Sayap Bumiputera pula, sebanyak 16 kerusi dipertandingkan dengan penyertaan 20 calon iaitu Datuk Haidar Khan, Awla Dris, Shafiee Ahmad, Syed Hamzah, Mohamad Duri, Yusuf Abdul Wahab, Datuk Mohd Yusnar, Yakup Arbi, Hadzman Johnny, Zainal Abidin, Datuk Aidel Lariwoo, Comar Amid, Iskandar Turkee, Julaihi Mohamad, Datuk Ahmad Ibrahim, Razali Gapur, Datuk Abdullah Saidol, Datuk Mohammad Razi Sitam dan Awangku Jinal.
Dalam Sayap Pemuda PBB, kepimpinan tertinggi menyaksikan perubahan apabila Datuk Martin Ben dilantik sebagai Ketua Pemuda (Pesaka), menggantikan Miro Simuh.
Sementara itu, jawatan Timbalan Ketua Pemuda kekal disandang oleh Datuk Lukanisman Awang Sauni (Bumiputera), manakala Allan Siden Gramong (Pesaka) dilantik sebagai Naib Ketua Pemuda.
© New Straits Times Press (M) Bhd