HANOI: Pemain negara memberikan segala-galanya yang termampu untuk menyaingi Vietnam, namun terpaksa akur gagal ke final bola sepak Sukan SEA 2021 selepas kalah tipis 1-0 dalam aksi sengit yang berlanjutan hingga ke masa tambahan, sebentar tadi.
Gol tunggal penyerang tuan rumah, Nguyen Tien Linh pada minit ke-111 memastikan kemaraan juara bertahan itu ke pentas akhir untuk bertemu Thailand yang terdahulu mengalahkan Indonesia 1-0 juga dalam saingan yang berlanjutan ke masa tambahan.
Beraksi tanpa tekanan berbanding tuan rumah yang memegang status juara bertahan di Stadium Viet Tri, Vietnam, Malaysia berjaya mengimbangi corak permainan khususnya di bahagian tengah.
Benteng skuad kebangsaan mula menerima tekanan menerusi gerakan Tien Linh pada minit ke-27, namun rembatannya jauh melewati palang gol.
Tien Linh sekali lagi berpeluang menjaringkan gol dipenghujung babak pertama namun skrip sama berulang apabila gagal menepati sasaran sebelum kedua-dua pasukan beredar masuk ke bilik persalinan dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Menyedari perubahan taktikal perlu dilakukan, Ketua jurulatih B23 negara, Brad Maloney melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Daniel Asri dan menggantikannya dengan Hadi Fayyadh Abd. Razak.
Pertukaran tersebut berjaya mengubah tempo permainan skuad kebangsaan yang dilihat semakin memiliki keyakinan ketika Vietnam pula dilihat lebih banyak bertahan.
Malaysia memiliki peluang terbaik mengegarkan gawang tuan rumah menerusi tandukan pemain gantian, Safwan Mazlan pada minit ke-80, namun sedikit tersasar.
Beberapa gerakan memburu gol yang direncanakan kedua-dua pasukan bagaimanapun gagal memastikan gol terhasil dan perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan 30 minit.
Gol perlawanan yang dicari akhirnya muncul pada minit ke-111 menjadi milik Vietnam hasil tandukan Tien Linh untuk menewaskan Azri Ghani yang cemerlang mengawal gawang sebelum itu.
Walaupun Malaysia cuba memburu gol penyamaan, namun jaringan tunggal pemain yang beraksi dengan kelab Becamex Bình Dương itu kekal sehinggalah tamat perlawanan.
Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara bola sepak lelaki Sukan SEA adalah pada edisi 2011 di Indonesia sewaktu dibimbing Datuk Ong Kim Swee.
Pencapaian terbaik Malaysia selepas itu adalah muncul naib juara seterusnya membawa pulang pingat perak pada edisi 2017 di Kuala Lumpur juga di bawah kendalian Kim Swee, sebelum tersingkir seawal peringkat kumpulan di Filipina pada edisi 2019. – UTUSAN ONLINE