Paris: Januari 2025 menjadi bulan Januari terpanas yang pernah direkodkan, menurut pemantau iklim Eropah, mencetuskan kebimbangan pemanasan global semakin sukar dikawal meskipun jangkaan fenomena La Nina yang lebih sejuk dapat meredakan kenaikan suhu.
Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus melaporkan bahawa suhu pada Januari adalah 1.75 darjah celsius lebih panas berbanding zaman praindustri, meneruskan trend peningkatan suhu yang berterusan sepanjang 2023 dan tahun lalu akibat pelepasan gas rumah hijau oleh manusia yang memanaskan planet ini.
Pakar iklim sebelum ini menjangkakan tempoh luar biasa ini akan berakhir selepas fenomena pemanasan El Nino memuncak pada Januari tahun lalu dan beralih secara beransur-ansur kepada fasa penyejukan La Nina.
Namun, suhu kekal pada tahap rekod atau hampir rekod sejak itu, mencetuskan perdebatan dalam kalangan saintis mengenai faktor lain yang mungkin mendorong pemanasan melebihi jangkaan.
“Inilah yang menjadikannya agak mengejutkan… kita tidak melihat kesan penyejukan, atau sekurang-kurangnya brek sementara, pada suhu global seperti yang dijangkakan,” kata saintis iklim Copernicus, Julien Nicolas, kepada AFP.
La Nina dijangka lemah, dan Copernicus menyatakan suhu di beberapa bahagian Lautan Pasifik khatulistiwa menunjukkan perlambatan atau penghentian peralihan ke arah fenomena penyejukan ini.
Nicolas berkata, La Nina boleh hilang sepenuhnya menjelang Mac.
Saintis memberi amaran setiap pecahan darjah pemanasan meningkatkan kekerapan dan intensiti kejadian cuaca ekstrem seperti gelombang haba, hujan lebat dan kemarau.
Bulan lalu, Copernicus melaporkan suhu global yang diambil secara purata sepanjang 2023 dan 2024 melebihi 1.5 darjah celsius buat pertama kali.
Walaupun ini bukan pelanggaran kekal terhadap sasaran pemanasan jangka panjang 1.5 darjah celsius di bawah Perjanjian Iklim Paris, ia adalah petanda jelas had itu sedang diuji.
Copernicus juga melaporkan ais laut Artik pada Januari mencatat rekod bulanan terendah, hampir menyamai 2018. Analisis dari Amerika Syarikat minggu ini pula menunjukkan ia berada di tahap kedua terendah dalam dataset mereka.
Secara keseluruhan, 2025 dijangka tidak akan menyamai rekod 2023 dan 2024 sebagai tahun paling panas dalam sejarah, sebaliknya diramalkan menjadi tahun ketiga paling panas.
Copernicus berkata, ia akan terus memantau suhu lautan sepanjang 2025 bagi mencari petunjuk mengenai tingkah laku iklim.
Lautan berperanan penting sebagai pengawal selia iklim dan penyerap karbon, di mana air yang lebih sejuk mampu menyerap lebih banyak haba daripada atmosfera, membantu menurunkan suhu udara.
Lautan juga menyimpan 90 peratus daripada lebihan haba yang terperangkap akibat pelepasan gas rumah hijau oleh manusia.
“Haba ini pasti akan muncul kembali secara berkala,” kata Nicolas.
“Saya rasa ini juga menjadi persoalan – adakah ini yang sudah berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini?”
Suhu permukaan laut sepanjang 2023 dan 2024 adalah luar biasa panas, dan Copernicus melaporkan bahawa bacaan pada Januari adalah yang kedua tertinggi pernah direkodkan.
“Itulah yang agak membingungkan – mengapa suhu lautan kekal begitu panas,” kata Nicolas.
Bill McGuire, seorang saintis iklim dari University College London, menyifatkan keadaan ini sebagai mengejutkan dan sejujurnya menakutkan kerana Januari kekal pada suhu rekod walaupun La Nina muncul.
Joel Hirschi dari Pusat Oseanografi Kebangsaan UK pula berkata bahawa suhu rekod yang berterusan walaupun selepas La Nina bukanlah sesuatu yang belum pernah berlaku, merujuk kepada corak serupa selepas fasa El Nino sebelum ini.
“Suhu permukaan laut global sedikit lebih rendah berbanding 2024 dan mungkin akan kekal lebih rendah ketika kita bergerak lebih jauh ke dalam 2025,” katanya, sambil memberi amaran supaya tidak membuat kesimpulan berlebihan berdasarkan data satu bulan sahaja.
Saintis sependapat pembakaran bahan api fosil adalah punca utama pemanasan global jangka panjang, manakala variabiliti semula jadi iklim turut mempengaruhi suhu dari tahun ke tahun.
Namun, kitaran pemanasan semula jadi seperti El Nino sahaja tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku dalam atmosfera dan lautan, dan penyelidik kini mencari jawapan di tempat lain.
Salah satu teori ialah peralihan global kepada bahan api kapal yang lebih bersih pada 2020 mempercepatkan pemanasan dengan mengurangkan pelepasan sulfur, yang sebelum ini membantu membentuk awan yang lebih reflektif terhadap cahaya matahari.
Pada Disember lalu, satu kajian yang disemak oleh rakan penyelidik meneliti kemungkinan bahawa pengurangan awan rendah telah membenarkan lebih banyak haba sampai ke permukaan Bumi.
“Ia masih menjadi perdebatan,” kata Nicolas.
Pemantau EU ini menggunakan berbilion pengukuran daripada satelit, kapal, pesawat dan stesen cuaca bagi membantu pengiraan iklimnya.
Rekod mereka bermula sejak 1940, tetapi sumber data iklim lain – seperti teras ais, gelang kayu dan rangka karang – membolehkan saintis memperluaskan kesimpulan mereka menggunakan bukti dari zaman yang lebih jauh.
Saintis percaya tempoh sekarang mungkin yang paling panas pernah dialami bumi dalam tempoh 125,000 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd