norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Keadaan kesihatan jantung penyanyi Ali XPDC, 57, masih lagi bengkak, manakala isterinya, Sharifah Azuwanna Syed Joned, 53, dikesan menghidap kanser payudara dan akan menjalani rawatan kemoterapi pada Rabu depan.
Anak sulung pasangan ini, Wan Aliuddin Aqiel Mohd Ali atau Aqiel, 29, berkata, sejak Isnin lalu ibu bapanya dimasukkan ke dua hospital berasingan untuk menerima rawatan iaitu Ali di Hospital Cyberjaya dan Sharifah Azuwanna di Hospital Putrajaya.
“Keadaan ayah sekarang, masalah paru-paru berair dialaminya Alhamdulillah sudah surut. Begitu juga kaki kanan ayah yang bengkak pun dah surut. Tapi, sekarang doktor tengah fokuskan beri antibiotik untuk jantung ayah.
“Jantung ayah masih lagi bengkak. Tapi, semalam doktor juga beritahu tiub kencing ayah tiba-tiba ada darah dan kena pantau dalam masa tiga ke empat hari. Kalau masih ada darah lagi, ayah kemungkinan besar akan kena buat dialisis untuk cuci darah,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya sama ada Ali mempunyai masalah buah pinggang juga sebelum ini, Aqiel berkata, bapanya tidak pernah menghidapnya selain masalah paru-paru berair dan jantung lemah.
Mengenai keadaan ibunya pula, Aqiel memaklumkan Sharifah Azuwanna baru selesai menjalani rawatan dialisis (cuci darah) sejak tiga hari lalu kerana saluran kencing sudah tertutup.
“Berhubung keadaan ibu saya, doktor kesan dia ada menghidap kanser payudara di sebelah kiri dan ia mungkin sudah merebak satu badan sehingga menutup saluran kencing. Jadi, sebab itu ibu kena buat dialisis.
“Doktor juga beritahu ibu saya akan menjalani rawatan kemoterapi pada Rabu depan. Tapi buat masa ini, keadaan ibu saya masih lagi lemah dan kerap tidur kerana dia juga tidak ada selera makan,” katanya.
Menurut Aqiel, keadaan ibunya sebelum ini sihat saja dan pernahlah mengadu seperti ada ketumbuhan di dadanya pada Disember tahun lalu serta membuat pemeriksaan di klinik.
“Ketika itu, doktor klinik beritahu sakit kelenjar biasa dan makan ‘supplement’ sudah boleh mengecut serta hilang. Tapi, selepas kami sekeluarga balik dari mengerjakan umrah, ibu mengadu sakit lagi.
“Saya dan adik-beradik lain ada pujuk ibu sebelum ini untuk ke hospital membuat pemeriksaan lanjut, namun ibu tidak mahu sebab dia takut dan bimbang dengan hasil keputusan diterima nanti,” katanya.
Memaklumkan Sharifah Azuwanna sudah tahu mengenai sakit kanser payudara dihidapi itu, Aqiel berkata ibunya pasrah dan menyerahkan segala urusan kesihatan kepada ketentuan Yang Esa.
“Apapun, saya mohon doakan segala urusan ibu bapa saya di dalam hospital dipermudahkan oleh Allah. Mohon doakan juga agar mereka kembali sihat seperti biasa.
“Saya reda dengan ujian kesihatan yang menimpa ibu bapa saya ketika ini dan mereka mungkin akan meraikan hari raya Aidilfitri kali ini di hospital,” katanya.
Sementara itu, mereka yang berhasrat memberikan sumbangan boleh berbuat demikian kepada Wan Aliuddin Aqiel Mohd Ali (Maybank – 162385058600).
© New Straits Times Press (M) Bhd