Jangan terpedaya pelaburan janji untung dalam tiga jam

Jangan terpedaya pelaburan janji untung dalam tiga jam

KUALA LUMPUR: Polis mengesan skim pelaburan tidak wujud dengan menawarkan keuntungan sehingga 51 kali ganda dalam tempoh tiga hingga enam jam menggunakan nama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, siasatan dilakukan ekoran laporan media berkaitan seorang wanita yang kerugian RM585,700 di Melaka kerana  terpedaya dengan pelaburan tersebut. 

Menurut beliau, siasatan lanjut mendapati sindiket penipuan itu mula beroperasi sekitar bulan

Oktober tahun lalu menerusi media sosial antaranya Facebook, WhatsApp, Telegram dan TikTok.

“Sindiket ini menawarkan pelaburan saham, mata wang digital dan dana geran menggunakan nama MIDA. 

“Lima pakej pelaburan ditawarkan melalui pakej serendah RM300 hingga RM2,000,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini. 

Menurut Ramli, pihaknya setakat ini menerima sebanyak 28 laporan polis dari seluruh negara dengan nilai kerugian  RM1.24 juta.

DISIASAT

Jelasnya, kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Untuk rekod, pada 9 November tahun lalu, pihak MIDA telah mengeluarkan amaran berkenaan penipuan pelaburan yang menggunakan nama agensi tersebut melalui laman Facebook rasmi mereka. 

Amaran sama turut dimuatnaik di laman sesawang https://www.mida.gov.my/ms/perihal-

mida/scam-alert/,” katanya. 

Pada 9 November lalu, media melaporkan seorang kerani bank terpedaya dengan keuntungan pelaburan sebanyak RM15,000 dijanjikan sindiket yang menyamar sebagai pegawai perunding pelaburan MIDA tetapi kerani itu  rugi RM585,700.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Ahmad Jamil Radzi dilaporkan berkata, mangsa seorang wanita berusia 52 tahun sanggup menggunakan wang simpanan Tabung Haji, Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta menggadaikan barang kemasnya.

Beliau dilaporkan berkata, kejadian berlaku selepas mangsa dihubungi sindiket berkenaan melalui aplikasi WhatsApp pada 5 Oktober lalu yang menawarkan pulangan keuntungan bernilai RM15,467 dalam tempoh tiga hingga enam jam dengan modal serendah RM300.

“Kerani bank itu kemudian bersetuju membuat transaksi RM300 ke dalam satu akaun milik seorang lelaki. 

“Mangsa yang menyangka telah memulakan pelaburan di bawah MIDA kemudian melakukan 64 transaksi pemindahan wang ke dalam 31 pemilik akaun berbeza melibatkan jumlah keseluruhan RM585,400,” katanya.- UTUSAN