am@hmetro.com.my
Seremban: “Jangan tendang bola dalam gol sendiri. Itu tidak baik untuk parti kita,” kata Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau memberi kiasan itu sebagai peringatan kepada pemimpin gabungan parti supaya apa yang berlaku pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 dan ke-15 tidak berulang pada PRU akan datang.
“Pernah kalah dalam PRU ke-14 dan ke-15, ramai pemain (pemimpin) yang ada semangat sepasukan tapi kenapa tendang bola dalam gol sendiri?
“Akhirnya kecundang juga. Saya tak sebut nama sesiapa tapi hakikatnya kita mesti berperanan sebagai pemain yang baik dalam pasukan Barisan Nasional. Jangan tendang bola dalam gol sendiri.
“Saya mengingatkan kepemimpinan dan ahli parti dan BN supaya menguatkan semangat berpasukan,” katanya.
Beliau berucap pada Konvensyen BN Negeri Sembilan 2024 di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi BN yang juga Pengerusi Penyelaras BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan boleh memenangi PRU akan datang sekiranya aspek kesetiaan kepada parti diberikan keutamaan.
Beliau menegaskan BN juga akan terus memberikan komitmen bersama Kerajaan Perpaduan dengan mewujudkan kerajaan yang stabil sehingga PRU ke-16.
Justeru beliau berharap, pandangan dan pendapat kepemimpinan BN termasuk barisan menteri daripada parti itu diberikan perhatian, selain menegaskan tidak ada usaha untuk membawa ahli dan pemimpin BN ‘menyeberang’ parti lain.
Beliau juga yakin Kerajaan Perpaduan mempunyai kelebihan untuk menang jika PRU diadakan dalam tempoh terdekat seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
© New Straits Times Press (M) Bhd