Jangan takut tegur pemerintah

Jangan takut tegur pemerintah

Dewan Rakyat.

– Advertisement –

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 92)

SEORANG lelaki berdiri di hadapan Sulaiman bin Abdul Malik, lalu berkata: Aku bercakap denganmu wahai Amir al-Mukminin, dengan kata-kata yang ada sedikit keras. Bersabarlah menanggungnya jika engkau benci, kerana di sebaliknya ada perkara yang engkau suka jika engkau menerimanya.

Sulaiman berkata: Sebutkan wahai saudara.

Lelaki itu berkata: Aku akan bertutur dengan perkara yang menjadi kelu oleh lidah yang lain  untuk menasihatimu, kerana menunaikan hak Allah dan hak kepimpinanmu.

Sesungguhnya beberapa orang mengelilingimu, sedangkan mereka tersalah pilih untuk diri mereka. Mereka menjual dunia engkau dengan agama mereka, dan mencari keredaanmu dengan kemurkaan tuhan mereka.

Mereka takut kepadamu dalam perkara taat kepada Allah. Mereka itu memerangi akhirat, merasa senang dengan dunia.

– Advertisement –

Engkau jangan beri amanah kepada mereka terhadap perkara yang Allah beri amanah kepadamu. Mereka itu menjadikan kepimpinan sia-sia dan umat itu dizalimi serta menjadi hina.

Engkau bertanggungjawab terhadap apa yang mereka kerjakan, sedangkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap apa yang engkau lakukan. Dunia mereka tidak menjadi elok dengan sebab rosaknya akhiratmu.

Manusia yang paling rugi ialah orang yang menjual akhiratnya dengan dunia orang lain.

Sulaiman berkata: Engkau wahai A’rabi (orang Arab Badwi), telah mengasah lidahmu. Ia lebih tajam dari pedangmu.

Lelaki itu menjawab: Ya. Nasihat ini bermanfaat untukmu, bukan untuk memudaratkanmu. (Uyun al-Akhbar, Ibn Qutaibah 2/338)

Melihat kepada teks asal ucapan lelaki Badwi ini dalam bahasa Arabnya yang penuh balaghah atau ketinggian bahasanya menyebabkan saya sukar menterjemahkannya.

Jika dihuraikan pun, ia penuh dengan pengertian yang mendalam. Ini baru ucapan lelaki Badwi. Belum dilihat ucapan para sahabat yang hebat, apatah lagi ucapan dari Baginda SAW sendiri.

Yang penting, ia diucap dengan penuh ikhlas, penuh keinsafan dan penuh pengertian. Tiada tujuan lain, hanyalah mahu melihat pemimpin dan pemerintah itu menjadi baik.

الرعية على دين ملوكهم

Rakyat menurut agama raja, pemerintah mereka.

Jika pemimpin dan pemerintah baik, rakyat juga akan baik insya-Allah. Jika pemimpin dan pemerintah rosak, rakyat akan rosak sama wal-iyazubillah

Dilihat kepada ucapan lelaki Badwi itu, ia berkisar kepada hakikat sebenar dunia dan akhirat, besarnya amanah yang dipikul dan sifat tanggungjawab dalam memimpin serta berhati-hati dengan mereka yang berada di sekeliling.

Nik Muhammad Nasri Nik Malek

Justeru, janganlah dianggap ia hanya dialog antara Arab Badwi dan Sulaiman sahaja. Nasihat dan teguran ini juga terpakai di sepanjang masa dan tempat kerana aspek yang disebut itu tetap ada dan berlaku dalam setiap kepimpinan dan pemerintahan. – HARAKAHDAILY 7/2/2024

Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu.

– Advertisement –