SAUDARA PENGARANG,
PERGANTUNGAN sektor kotor, bahaya dan sukar (3D) kepada tenaga kerja asing telah menjadi isu yang semakin kritikal di negara kita. Jumlah pekerja asing di Malaysia yang direkodkan pada 2022 adalah 1.46 juta orang.
Terdapat 15 negara sumber utama pekerja asing negara antaranya Indonesia, Bangladesh, Nepal, Thailand dan Vietnam. Kebanyakan pekerja asing ini adalah tenaga kerja separa mahir atau tidak mahir.
Mereka diperlukan untuk bekerja di sektor 3D disebabkan rakyat tempatan tidak berminat di sektor berkenaan kerana gaji yang rendah dan dianggap pekerjaan kelas kedua. Faktor gaji rendah dijangka berterusan kerana sektor ini tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi.
Selain itu, lambakan pekerja asing di negara ini memberi impak yang negatif kepada ekonomi negara kerana pengaliran wang keluar yang banyak dari negara ini berjumlah RM34 bilion setahun.
Pengurangan pekerja asing mampu meminimumkan aliran keluar wang negara untuk jangka masa panjang. Pengurangan wang keluar ini juga membolehkan lebih banyak wang akan kekal dalam negara untuk merangsang pertumbuhan ekonomi domestik.
Dalam mengatasi isu ini, teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) adalah sebagai satu penyelesaian yang perlu dilaksanakan. Teknologi ini telah membawa revolusi dalam pengurusan, pengeluaran dan inovasi dalam pelbagai industri.
Teknologi IR 4.0 yang menggabungkan teknologi automasi, robotik, pengendalian data, penggunaan mesin pintar dan kecerdasan buatan (AI) mampu meningkatkan proses pengeluaran produk dan kualiti perkhidmatan.
Teknologi IR 4.0 dapat memberikan pelbagai manfaat untuk mengatasi isu kebergantungan terhadap pekerja asing dalam sektor 3D. Majikan perlu mengenal pasti dan meningkatkan pelaburan dalam teknologi terkini.
Bagaimanapun, ia juga memerlukan sokongan kerajaan untuk mencapai objektif ini. Dengan usaha yang berterusan, Malaysia mampu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan merangsang pertumbuhan dalam sektor ini dengan lebih berkesan.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
The post Jangan suam-suam kuku laksana IR 4.0 appeared first on Utusan Malaysia.