BUTTERWORTH : Orang ramai dinasihat untuk tidak mensensasikan kes seorang budak lelaki yang kini sedang ‘bertarung nyawa’ di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami sesak nafas dipercayai akibat tercekik gula-gula ‘gummy’, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, ‘keghairahan’ berbuat demikian dikhuatiri akan mengganggu siasatan kes yang sedang dijalankan ketika ini.
Menurut Anuar, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Dua berhubung kejadian itu kira-kira pukul 12.49 tengah malam semalam.
“Berdasarkan laporan, budak lelaki berusia 10 tahun itu dijumpai terbaring di koridor menuju ke tandas dan hasil siasatan mendapati, saksi kejadian iaitu rakan mangsa memaklumkan bahawa mereka berdua dalam perjalanan untuk ke tandas ketika itu.
“Mangsa bagaimanapun telah terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum saksi meminta bantuan guru kelas untuk membantu budak lelaki tersebut,” katanya di sini, hari ini.
Anuar berkata, pihak sekolah juga telah memaklumkan bahawa bantuan pernafasan telah diberi ketika itu, namun, gagal sebelum menghubungi Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
“Pegawai kesihatan (dari HSJ) kemudian datang dan berjaya mengorek serta mengeluarkan coklat (gula-gula) itu dari mulut mangsa, namun, mangsa ketika itu dikatakan masih tidak sedarkan diri sebelum terpaksa dikejarkan pula ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di HPP,” katanya.
Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini diminta untuk berhubung dengan Asisten Superintenden Shuheri Abdul Rani di talian 04-5762222 sambungan 2275 atau menghubungi mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.-UTUSAN