Jangan sampai pemain mogok – Rodri

Jangan sampai pemain mogok – Rodri

Manchester: Pemain tengah Manchester City, Rodri, memberi amaran bahawa pemain utama mungkin akan melakukan mogok jika kelab terus berhadapan dengan jadual perlawanan yang semakin bertambah.

City, pemenang Liga Juara-Juara 2023, menentang gergasi Itali, Inter Milan di Stadium Etihad pada awal pagi Khamis dalam perlawanan pertama mereka bagi fasa liga baharu pertandingan itu.

Pertandingan yang diperluaskan kali ini membabitkan 36 pasukan, di mana semua kelab akan bermain lapan perlawanan liga, jauh berbeza daripada Piala Eropah yang asal yang hanya menampilkan juara kebangsaan.

City juga akan bersaing dalam Piala Dunia Kelab akhir musim ini.

“Ya, saya rasa kami hampir ke arah itu,” kata Rodri apabila ditanya mengenai kemungkinan pemain melakukan mogok.

“Jika ia kekal seperti ini, kita tidak akan mempunyai pilihan lain. Ia sesuatu yang membimbangkan kami.”

Pengurus City, Pep Guardiola, bagaimanapun, lebih berhati-hati dengan berkata: “Kami bermain perlawanan pertama, kemudian perlawanan kedua dan kita akan lihat apa yang berlaku dalam perlawanan terakhir untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Tidak perlu memikirkannya sekarang. Ia adalah sesuatu untuk masa depan. Kita akan lihat.”

Komen Rodri, bintang Sepanyol, selari dengan kenyataan penjaga gol Liverpool, Alisson, yang berkata kebajikan pemain diabaikan oleh pihak berkuasa bola sepak mengenai isu kepadatan jadual perlawanan.

Liverpool akan menentang AC Milan pagi ini dalam perlawanan pembukaan mereka.

“Kadang-kadang tiada siapa yang bertanya kepada pemain apa pendapat mereka tentang menambah lebih banyak perlawanan,” kata Alisson.

“Mungkin pendapat kami tidak penting, tetapi semua orang tahu apa yang kami fikirkan tentang jadual perlawanan yang terlalu. Semua orang bosan dengan itu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top