Jangan panik, ayam cukup hingga Aidilfitri

Jangan panik, ayam cukup hingga Aidilfitri

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Bekalan ayam dijamin mencukupi sepanjang Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu panik memandangkan Jabatan Veterinar sendiri memberi jaminan bekalan ayam yang mencukupi untuk keperluan pasaran.

“Saya telah mendapat maklumat terperinci hari ini daripada Jabatan Veterinar selepas KPDN berkongsi maklumat dengan MAFS (Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan).

“Laporan daripada semua pemain industri yang besar, secara rasminya data menunjukkan bekalan ayam cukup dan akan dapat menampung keperluan sehingga hari raya.

“Oleh itu, saya harap rakyat jangan panik dan kita sentiasa memantau isu bekalan ayam ini dari hari ke hari, itu tanggungjawab KPDN bersama MAFS,” katanya yang ditemui pada Program Edaran Kurma di Bazar Ramadan Perling Mall di Taman Perling di sini, hari ini.

Ditanya mengenai dakwaan kenaikan harga ayam oleh peniaga kerana bekalan tidak mencukupi, Salahuddin berkata, aduan sepatutnya dibuat secara tepat mengikut saluran yang betul bagi membolehkan tindakan diambil segera.

“KPDN mengharapkan supaya fakta yang sebenar perlu disampaikan secara tepat kepada kita kerana kita bimbang ia hanya isu tempatan atau isu di tempat tertentu dan tidaklah menggambarkan isu sebenarnya.

“Memang ada aduan di tempat tertentu, tetapi ia mungkin kerana timbul masalah antara pembekal dengan peruncit.

“KPDN memandang serius setiap aduan walaupun isu itu boleh kita anggap terpencil, tetapi kita ambil perhatian,” katanya yang memberitahu penguatkuasaan diperketat sepanjang Ramadan dan musim perayaan.

Beliau juga meminta peniaga supaya tidak mengambil kesempatan selagi kerajaan masih menetapkan harga siling ayam dan membantu menyelesaikan isu berbangkit.

Media melaporkan bekalan ayam segar didakwa berkurangan, memaksa harga bahan mentah itu dinaikkan sebanyak 20 sen di peringkat ladang.

Ketika ini, harga ayam di peringkat runcit didakwa dinaikkan kepada RM11 sekilogram sejak awal Ramadan dan dijangkakan terus meningkat kepada RM11.50 dalam tempoh terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top