'Jangan lupa, Umno dalam kerajaan hanya berkongsi kuasa'

'Jangan lupa, Umno dalam kerajaan hanya berkongsi kuasa'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Ahli Umno diingatkan supaya tidak menyerang parti dengan 1,001 tuntutan seolah-olah parti itu yang mendominasi Kerajaan Perpaduan.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, serangan yang dibuat itu hanya akan membuatkan parti dan kepimpinan tertinggi berada dalam dilema untuk memenuhi tuntutan.

Beliau turut mengingatkan supaya ahli parti tidak mengutuk kerajaan hari ini seolah-olah terlupa Umno hanya ada dalam kerajaan kerana berkongsi kuasa.

“Jadi, atas sebab itulah jangan kita meletakkan parti dan kepimpinan dalam keadaan tersepit. Saya akui kadang-kala parti dalam dilema dengan desakan-desakan sedangkan kita ini lemah.

“Kita tidak mempunyai pilihan, kita didesak, dituntut dan diugut seolah-olah kita ini dominan dalam kerajaan hari ini.

“Janganlah menyerang parti dengan mendesak akan tuntutan yang boleh menyebabkan pergeseran antara parti yang sama-sama membentuk kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Gudang di Seri Alam, hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi itu berkata, apa yang lebih penting buat parti pada masa ini adalah mengatur langkah dan meneruskan perjuangan dengan politik khidmat bakti.

Katanya, tiada gunanya untuk berterusan mendesak parti meninggalkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang bersama-sama membentuk Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, tindakan itu hanya akan mengeruhkan dan merumitkan lagi keadaan antara parti-parti yang terbabit.

“Apabila calon Kerajaan Perpaduan menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kuala Kubu Baharu, Selangor suara ini tidak kedengaran. Namun, apabila tewas di PRK Sungai Bakap, Pulau Pinang, ada yang desak kaji semula posisi dalam Kerajaan Perpaduan.

“Ahli Umno dan akar umbi kena terima hakikat kedudukan parti dalam Kerajaan Perpaduan ini. Oleh itu, lebih baik tumpukan untuk memperkuat semula parti, mudah-mudahan ia akan menyumbang kepada kejayaan Umno, Barisan Nasional di Johor,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd