Jangan hukum dia berdasarkan apa yang kita nampak – Amin Idris

Jangan hukum dia berdasarkan apa yang kita nampak – Amin Idris

KUALA LUMPUR: Pengacara program Tazkirah Malam Jumaat, Amin Idris memohon kepada masyarakat agar tidak cepat menjatuhkan hukum terhadap penyanyi nasyid terkenal, Yasin Sulaiman yang didakwa atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja baru-baru ini kerana dalam Islam mahupun dalam undang2 sivil, seseorang itu dianggap tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah

Menurut Amin, adalah tidak wajar seseorang itu dihukum berdasarkan public court atau public opinion.

“Sebagai pelajar lepasan undang-undang, saya berpegang kepada prinsip seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Sekiranya dia berhadapan the court of opinion, maknanya masyarakat sudah tidak berlaku adil terhadapnya dan menghukum dia.

“Andai kata mahkamah akhirnya memutuskan dia tidak bersalah, adakah mereka yang menghukumnya sebelum-sebelum itu akan minta maaf?

“Setiap orang ada latar cerita masing-masing yang mana, diluar pengetahuan kita. Jangan hukum dia berdasarkan apa yang kita nampak. Harus diingat, dosa dengan Allah, Dia ampunkan. Tapi, kesilapan kita dengan manusia lain, Allah tak akan ampunkan selagi manusia yang dianaya itu maafkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Amin juga meminta agar masyarakat tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap isu yang membabitkan Yasin.

Katanya, nilai dan fikirkan dahulu satu-satu tindakan itu agar tidak mendatangkan keburukan di kemudian hari.

“Andaikan yang kena itu, ahli keluarga atau kita sendiri. Apa perasaan kita, apabila kita dihukum sebelum dibuktikan bersalah. Apa perasaan kita ketika itu?

“Jadi sebelum bertindak, fikir dahulu. Kalau kita pun marah orang buat begitu pada kita, kenapa kita juga mahu berbuat yang sama? Kalau kita mahu orang hormat kita, kita kena hormat orang dulu,” katanya lagi.

Yasin hadir ke Mahkamah Petaling Jaya semalam bagi menjalani perbicaraan berhubung tuduhan menanam 17 pokok ganja di kediamannya di Kota Damansara pada 24 Mac lalu.

Dia juga akan didakwa mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya.

Scroll to Top