Jangan cabar hak umat Islam – Exco Pemuda Umno

Jangan cabar hak umat Islam – Exco Pemuda Umno

am@hmetro.com.my

Shah Alam : Kenyataan Ketua Pemuda DAP, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen, yang mengkritik Ketua Pemuda Umno Malaysia, Dr. Muhamad Akmal Saleh, adalah satu penghinaan kepada sensitiviti agama dan umat Islam di negara ini.

Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, Dr Muhamad Akmal mengambil tindakan tepat apabila menempelak Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, yang dengan biadab mempertikaikan usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung proses pensijilan halal.

Malah Ketua Pemuda Umno Bahagian Subang itu berkata, ini adalah satu isu yang menjadi teras kepercayaan dan amalan umat Islam.

“Teresa tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan agama yang tidak ada kena-mengena dengannya, lebih-lebih lagi apabila kenyataan itu jelas menghina dan mencabar maruah serta sensitiviti umat Islam.

“Kritikan Kelvin pula bukti beliau sama sekali gagal memahami atau menghormati kepentingan dan hakikat isu halal yang suci bagi umat Islam di Malaysia ini.

“Tindakan Yang Berhormat Dr. Muhamad Akmal menegur Teresa bukan sahaja wajar, malah perlu dipuji kerana beliau tegas mempertahankan hak dan kepentingan agama Islam serta majoriti rakyat negara ini.

“Kita tidak perlukan pemimpin yang seperti Kelvin yang hanya tahu membela pihak yang terang-terangan mencemarkan dan memperlekehkan urusan agama Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fariz Hazurin berkata, seandainya bahasa Dr Muhamad Akmal dilihat keras, itu kerana beliau berani mempertahankan prinsip yang seharusnya tidak boleh dikompromi.

“Teresa dan mereka yang seangkatan dengannya perlu sedar, jangan sekali-kali mencabar kesucian dan hak umat Islam.

“Ini kerana ia hanya akan membawa kepada perpecahan dan ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serta keharmonian negara kita yang tercinta ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Teresa dalam satu kenyataan di media sosial dilaporkan berkata, pelaksanaan pensijilan halal harus bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran, bukan secara paksa.

Susulan kenyataan itu, Dr Muhammad Akmal menempelak tindakan Teresa.

Sementara, Kelvin menganggap kenyataan Dr Muhamad Akmal itu biadab kerana mengeluarkan kenyataan yang bersifat seksis dan misoginis terhadap Teresa.

© New Straits Times Press (M) Bhd