'Jangan buat spekulasi, tiba-tiba ramai pula jadi pakar gas, minyak'

'Jangan buat spekulasi, tiba-tiba ramai pula jadi pakar gas, minyak'

am@hmetro.com.my

Jitra: Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berhubung kejadian letupan paip gas di Putra Heights baru-baru ini yang mengakibatkan kemusnahan yang besar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kenyataan tidak bertanggungjawab boleh mengganggu proses siasatan dan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat

Sebaliknya, ketika umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri, beliau berkata masyarakat perlu menunjukkan empati dan solidariti kepada mangsa dengan tidak menyebarkan dakwaan yang belum disahkan.

“Orang awam boleh bantu dengan tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian yang kini bersepah di media sosial. Tiba-tiba ramai pula yang jadi pakar gas dan minyak, menganalisis punca tragedi ini.

“Walaupun mereka boleh berbuat demikian atas nama kebebasan bersuara, ini adalah isu siasatan polis, tolong beri kepercayaan kepada pihak polis, biar lah polis siasat tanpa gangguan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata beliau menerima taklimat berkala mengenai perkembangan siasatan dan menegaskan bahawa usaha pengumpulan bukti memerlukan penelitian dan disiplin yang tinggi.

“Ini adalah usaha siasatan yang rapi dan memerlukan ketelitian dalam mengumpul bukti. Saya mohon masyarakat letakkan kepercayaan penuh kepada pasukan polis untuk menyelesaikan siasatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin memaklumkan dua agensi utama di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) sudah digerakkanbagi membantu mangsa terbabit.

Selasa lalu media melaporkan kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights, Selangor pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke PPS.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top