PETALING JAYA: “Jangan buat mama sedih lagi sebab bila mama sedih, akan hilang arah dan cepat terkejut. Bila terkejut, maka akan berlaku pergelutan emosi yang tidak terjangka.”
Demikian kata pelakon, Abby Abadi buat bekas suaminya, Norman Hakim dan anak-anak selepas terlerainya kemelut keluarga yang berlaku sejak beberapa minggu yang lalu.
Enggan kecewa lagi, Abby berkata, tindakannya melondehkan satu persatu hal peribadi dalam media sosial kerana terlalu mengikut perasaan dan termakan hasutan syaitan.
“Alhamdulillah, terima kasih Allah SWT kerana sentiasa bersama saya. Terikut dengan hasutan syaitan sekejap,” katanya dalam Instagram semalam.
Bagai mahu membuka lembaran baru, Abby turut memohon maaf kerana kemelut keluarganya itu memberi kesan kepada sesetengah pihak termasuk rakan-rakannya.
“Maaf kawan-kawan yang sentiasa ada kerana buat emosi kalian terganggu juga. Sebenarnya tiada niat untuk libatkan orang lain tapi tak mengapa, kalah dengan syaitan.
“Saya minta maaf! Janji tak buat lagi, doakan kami,” jelasnya.
Menerusi hantaran tersebut, Abby turut memuat naik rakaman video siaran langsung ketika Norman dan anak perempuan mereka, Marissa Dania hadir ke kediamannya untuk sesi memujuk.
Malah, pelakon filem Gerak Khas The Movie itu turut kelihatan sebak selepas anak perempuannya itu menangis ketika memeluknya dan meminta maaf.
Perkongsian tersebut secara tidak langsung memberi bayangan hubungan mereka sudah kembali jernih.-UTUSAN