Jangan berhenti ambil gambar di Jambatan Sungai Pulai

Jangan berhenti ambil gambar di Jambatan Sungai Pulai

am@hmetro.com.my

Iskandar Puteri: Tindakan orang ramai yang berhenti di bahu jalan Jambatan Sungai Pulai, di sini untuk mengambil gambar pemandangan di kawasan itu, dibimbangi mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata semua pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas.

Katanya, mereka juga dilarang berhenti sesuka hati di bahu jalan jambatan yang baru dibuka dua hari lalu semata-mata untuk mengambil gambar.

“Kepada semua pengguna jalan raya khususnya di Jambatan Sungai Pulai dinasihatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang lalu lintas, agar tidak memandu dalam keadaan yang boleh menyebabkan berlaku insiden atau kemalangan semasa melalui jambatan tersebut.

“Diingatkan kepada semua untuk tidak memandu laju dan melulu, dilarang daripada berlumba serta dilarang berhenti untuk bergambar.

“Pihak polis akan melakukan pemantauan secara berkala supaya tiada perkara menyalahi undang-undang serta perilaku membahayakan nyawa pengguna jambatan yang lain,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kelmarin, Jambatan Sungai Pulai sepanjang 7.5 kilometer (km) itu mula dibuka kepada orang awam.

Ia menghubungkan Gelang Patah -Tanjung Bin, Pontian, dibina dengan kos RM800 juta dan mula dibina pada 2017 serta siap sepenuhnya Disember lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top